ARRORA SALWA TERSINGKIR MINGGU KE-8 GV11


Walaupun dilihat agak ceria semasa namanya diumumkan sebagai bintang yang tersingkir di minggu kelapan, Gegar Vaganza ke-11 (GV11) yang berlangsung malam Ahad, penyanyi Arrora Salwa tidak menolak kemungkinan dirinya akan kembali aktif sebagai pelakon dalam jangka masa terdekat. 

Arrora yang menyampaikan lagu Cinta Hanya Sandaran nyanyian asal Siti Nordiana itu gagal mendapat perhatian juri  apabila sekadar memperolehi 55.20%, manakala Zehra Zamrie (58.60%) dan Ronnie Hussein (59.60%) masing-masing berjaya mengekalkan kedudukan walaupun berada pada paras tidak selamat.


Kumpulan The Lima dari Indonesia pula berjaya merampas kedudukan teratas dengan markah 74.40% menewaskan Liza Aziz dan Ning Baizura yang hanya berada di kedudukan kedua dan ketiga. 

Kumpulan yang pernah menjadi artis naungan KRU Music pada 2007 itu menyampaikan lagu Aku Bukan Untukmu nyanyian asal Rossa itu berjaya memukau penonton dengan persembahan penuh bertenaga. 

Ketika ditemui media sejurus selepas persembahan, kumpulan yang dianggotai tiga orang anak muda itu tidak menyangka bahawa mereka akan menjuarai minggu kelapan sekali gus menjadikan Liza dan Ning Baizura sebagai saingan terdekat untuk merebut juara GV ke-11.


Tujuh lagi peserta yang bakal membuat persembahan pada minggu kesembilan minggu hadapan adalah Fairuz Selamat, Liza Aziz, Ning Baizura, Sheila Abdul, Dadai Dyrga, Ronnie Hussein dan The Lima.

GV11 dihoskan Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad ini menampilkan Datuk Syafinaz Selamat, Dato' Ramli MS dan Hetty Koes Endang bertindak sebagai juri professional yang menemui penonton setiap Ahad, jam 9.00 malam yang dipancarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor.

Catat Ulasan

0 Ulasan