GV 11: SHEILA ABDUL TERUS BERTAHAN

Walaupun berada pada kedudukan tidak selamat minggu ini, Sheila Abdul antara Bintang GV paling menyerlah di dalam Gegar Vaganza Musim ke-11. Kehebatan Sheila boleh dilihat melalui setiap persembahan yang ditampilkan, malahan setiap lagu yang di dendangkan membuktikan anak kelahiran Johor Bahru ini bukanlah calang-calang penyanyi malahan boleh dianggap sebagai pesaing buat bintang sedia ada di dalam industri muzik hari ini.

Pertama kali melihat Sheila beraksi di GV minggu pertama hingga ke sepuluh , penulis merasakan seperti ada aura yang cuba ditampilkannya. Pada setiap minggu, prestasi kedudukan Sheila adalah top 10 dan pada minggu ke-5, beliau berada pada kedudukan pertama dengan markah 79.10% menewaskan Liza Aziz dan Ning Baizura yang dikatakan bakal menjuarai Gegar Vaganza musim ke-11. 

Pada minggu ke-6 hingga ke-9, prestasi Sheila agak baik, cuma pada minggu ke-10, beliau berada pada paras yang membimbangkan dengan markah 65.60% bersama-sama Fairuz Selamat yang hanya mampu memperolehi markah 64.40%. Fairuz tersingkir pada minggu ini (minggu ke-10) menjadikan hanya tujuh bintang yang akan membuat persembahan pada minggu separuh akhir yang bakal berlangsung pada 2 Februari 2025, membuktikan hanya tinggal dua minggu sahaja lagi untuk GV menobatkan siapakah yang bakal menjuarai Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) untuk tahun 2024.

Ketika bercakap dalam satu temu bual bersama media dan pernah diajukan soalan oleh juri, Sheila memberitahu  bahawa Liza Aziz adalah saingan terdekatnya di dalam GV11.  Namun, bagi penulis, antara Sheila Abdul dan Liza Aziz masing-masing ada keistimewaannya. Jika Sheila berusaha keras untuk menempatkan dirinya sebaris Liza mahupun Ning, tidak mustahil Sheila boleh menjadi Juara Gegar Vaganza musim ke-11 ini. 

Sheila Abdul, 36, merupakan anak didik kepada komposer terkenal, Allahyarham Dato' Adnan Abu Hassan antara penyanyi wanita tempatan yang pernah merakamkan runut bunyi filem tempatan tahun 2006, The Red Kebaya di mana beliau juga membuat penampilan khas sebagai penyanyi kelab malam di dalam filem arahan Oliver Knott itu. 

Single pertamanya berjudul, Mungkinkah yang diterbitkan pada tahun 2007, berjaya melonjakkan namanya sebagai bintang baharu kelahiran Adnan Abu Hassan. Berbalik kepada persembahannya di dalam GV11 malam tadi, Sheila menyampaikan dua buah lagu secara medley iaitu lagu Babak Pertama (Drama Band) dan Ah! Rindu Lagi (Amelina) dilihat agak biasa malam tadi walaupun beliau memberikan persembahan penuh bertenaga bagi menyuntik hati juri dan penonton untuk mengekalkan potensinya sebagai bakal juara GV11, 2024.

Gegar Vaganza 11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad ini menampilkan Dato' Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang sebagai juri tetap yang dipancarkan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam, Selangor. 

Catat Ulasan

0 Ulasan