Komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh mencipta kejutan apabila lagu Hening Rindu ciptaannya yang dinyanyikan oleh Marsha Milan dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Kemenangan lagu Hening Rindu berjaya mengenepikan pesaing terdekat seperti lagu Puas Sudah nyanyian Aina Abdul, Bukan Lagi Kita (Nadeera) dan Diam (Hael Husaini) yang diramalkan mengenggam trofi idaman ramai itu.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan Ikhwan, Wan Salleh dan Marsha membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000.00.
Marsha gagal menahan sebak sebaik diumum sebagai pemenang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakangnya.
Naib juara AJL39 menjadi milik lagu Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini ciptaan dan lirik oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh, sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.00.
Menduduki tempat ketiga, lagu Saksama nyanyian Akim & The Majistret ciptaan Akim & The Majistret dan lirik oleh Bunga Cantik, melayakkan mereka menerima wang tunai RM30,000 beserta trofi.
Ernie Zakri yang mempertaruhkan lagu Aura memenangi kategori Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang trofi dengan bersama wang tunai RM12,000.00.
Seterusnya, kategori Persembahan Terbaik yang menawarkan ganjaran wang tunai RM12,000.00 dan trofi menjadi milik Aina Abdul selepas mempamerkan persembahan berkonsepkan jantung.
Mempertaruhkan 10 buah lagu, AJL39 dinilai Edry Abdul Halim selaku Ketua Juri dengan dibantu Edrie Hashim, Ad Samad, Datuk Ahmad Izham Omar, LY, Fauziah Latiff, Siti Hajar, Datuk Hattan dan Datuk Fauziah Nawi.
Lebih tiga dekad sejak penganjurannya, AJL bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya bagi memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.
Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL39 mengetengahkan Nada Rasa sebagai konsep dan tema persembahan pada tahun ini.
AJL39 menyaksikan gandingan Nazrudin Rahman dan Sissy Imann sebagai hos.
AJL39 membuka tirai dengan persembahan daripada Wanie Kayrie yang menyampaikan lagu Cindai diikuti Shiha Zikir (Asmaradana), Ara Johari (Tak Ada Logika) dan Noki K-Clique (Angkat).
Segmen Interlude dijayakan oleh penyanyi popular era 1990-an, Amir Ukays dengan menyampaikan lagu Pahit Akan Manis Akhirnya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.
Segmen itu kemudian disusuli dengan persembahan Sham Visa menyampaikan lagu Untukmu Selamanya dan Dalam Gerimis.
Sumber berita dipetik dari BHarian
0 Ulasan