Betapa besarnya erti seorang sahabat dalam hidup anda? Sahabat yang baik sukar dicari ganti walaupun kita mempunyai ramai kawan. Namun, bagi penyanyi Indonesia, Nyoman Paul, sahabat adalah sesuatu yang luar biasa dan mampu memberi warna dalam kehidupan.
Sebagai penghormatan kepada sahabat baiknya, sebuah lagu berjudul Alunan Mimpi, dicipta khas bagi menggambarkan betapa setianya sebuah ikatan persahabatan antara mereka.
Ditulis oleh Nyoman Paul, Alunan Mimpi merungkai kisah tentang sebuah rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia bagaikan sebuah mimpi, namun diolah dalam bentuk lirik dan melodi yang hasilnya sangat menakjubkan serta bisa meresahkan jiwa pendengar dan peminat muzik nusantara.
Dalam satu kenyataan media, Nyoman Paul berkata mimpi adalah mainan jiwa. Ia hadir saat kita gembira, sedih, suka duka, namun harus di sedari bahawa sahabat yang baik amat sukar dicari. Inilah terjemahan jiwa Paul melalui lagu yang didendangkannya.
“Paul pernah bermimpi tentang mendiang sahabat Paul. Namun, seperti yang kita tahu, dalam mimpi apa yang ingin disampaikan tidaklah jelas. Maka, Paul cuba menterjemahkannya dalam bentuk lagu sebagai satu kenangan persahabatan kami,” kata Nyoman Paul tentang inspirasi di sebalik lagunya.
"Merupakan single kelima Nyoman Paul selepas kejayaan lagu hitnya, ‘’Tunggu Apa Lagi’. Alunan Mimpi ditulis oleh beliau sendiri dengan kerjasama S/EEK, Rahman Sadli Waraiya, dan Clara Riva. Ia membawa nuansa muzik era 2000-an yang dipenuhi nada-nada menarik dan membangkitkan nostalgia. Lagu ini diterbitkan di bawah label Universal Music Indonesia.
“Karya ini sangat sentimental bagi saya kerana ia berdasarkan kisah peribadi yang saya alami. Saya berharap lagu ini menjadi persembahan yang akan saya ingat selama-lamanya,” katanya.
Dari segi melodi, lagu ini memiliki jiwa dan sentuhan melankolik yang sangat kuat. Ia penuh emosi seperti lagu-lagu pop balada yang pernah kita dengar. Susunan lagunya sederhana tetapi ia begitu kuat dan mampu meruntun jiwa pendengar muzik semasa.
Menariknya lagu ini, adalah menerusi rakaman video lirik yang telah diterbitkan. Ia menampilkan Putu Helena Ayu Waringin atau lebih dikenali sebagai Helena, iaitu anak kepada mendiang sahabatnya.
Video lirik ini disunting menggunakan potongan video yang dirakam oleh Ni Nyoman Reni Ari Diantini, ibu Helena dan juga balu kepada mendiang sahabat Nyoman. Sangat menyentuh hati!
“Saya sengaja mahu melibatkan Helena dan ibunya. Mereka berdua adalah insan yang kuat dan saya berharap kekuatan mereka boleh menjadi inspirasi buat kita semua.
“Namun, saya berharap lagu ini mampu menjadi sebuah kenangan indah, bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk keluarga sahabat saya, terutamanya Helena, Tidak lupa juga buat pendengar muzik saya. Semoga lagu ini menjadi runut bunyi yang menguatkan serta memberi nostalgia untuk mengenang orang atau perkara yang sudah tiada bersama kita," kata Nyoman Paul dalam satu kenyataan.
Bagi anda yang ingin mendengarkan betapa enaknya lagu Alunan Mimpi ini, ia sudah berada di semua platform muzik digital dan saksikan juga video liriknya di saluran YouTube Nyoman Paul. Selamat mendengar!
0 Ulasan