BILA TAKDIR MELARANG CINTA ; ANTARA HAK, CINTA & PENGORBANAN

Bagaimana jika takdir menemukan cinta di dalam dunia yang didominasi oleh kuasa, dendam dan pengkhianatan? Apakah konflik yang terbina antara mereka mampu memusnahkan atau membahagiakan insan tersayang di kala takdir cuba mengikat sebuah ikatan tanpa hak?. Semuanya bakal terjawab di dalam "Bila Takdir Melarang Cinta" .

Drama bersiri terbaharu iQIYI Original ini sudah pun ditayangkan sejak 14 Februari lalu. Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fadlan Hazim, Nadia Brian, Afiq Muiz, Eddy Syahir, Yaakob Abdul Aziz, Dato' Eizlan Yusof, Zarynn Min, Hanna Halim, Faizul Syaharin, Adam Shahz dan Shatirah Amanda, Bila Takdir Melarang Cinta merupakan sebuah karya arahan Shuhaimi Zulkefli.

Diterbitkan  Metrowealth dengan hasil sentuhan penulis skrip Keetan Brenan, Bila Takdir Melarang Cinta merupakan sebuah drama 12 episod penuh aksi yang bakal merentap jiwa dan emosi ini akan membawa penonton ke dalam dunia “underground” yang penuh bahaya.

Pelbagai konflik timbul dan bakal menyentap segala ruang rasa, akan diterjemahkan melalui sebuah kisah meruntun jiwa hanya di platform penstriman dalam talian IQIYI. 

Rayyan & Hawa – Cinta Terlarang Dunia Kongsi Gelap

Mengambil latar tempat di sebuah kota yang sesak, di Kuala Lumpur, dua kartel jenayah terbesar keluarga Salim dan keluarga Borhan bergelut merebut kuasa. 

Rayyan (lakonan Fadlan Hazim), anak kepada Salim bertekad untuk keluar dan tidak mengikut jejak langkah bapanya, merancang untuk melepaskan diri dari kegelapan yang membelenggu hidupnya. 

Menurut Fadlan Hazim, watak yang dibawakannya kali ini lebih drastik di mana dia memegang peranan anak kepada ketua mafia terbesar di ibu kota. Walaupun agak klise, namun drama ini pasti membuatkan penonton tidak senang duduk. 

"Agak mencabar untuk saya melakonkan watak ini. Walaupun ia kelihatan klise namun drama ini mempunyai pelbagai konflik dan keunikan tersendiri. 

"Watak Rayyan agak dominan. Dia terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti hidupnya sebagai seorang mafia, sebaliknya dia juga anak kepada seorang ketua kartel terbesar di Malaysia.  

"Persoalannya, bagaimana untuk Rayyan meneruskan hidup dengan perkara sebegini tanpa tahu dia bakal menentang bapanya sendiri?," katanya. 

Watak Hawa yang dilakonkan oleh Nadia Brian pastinya mengundang pelbagai persepsi masyarakat kerana lakonan Nadia dikatakan agak keterlaluan, walaupun beliau hanya seorang pelakon yang diberikan watak bagi menterjemahkan karektor tersebut.

Hawa sebagai pewaris keluarga Borhan pula bercita-cita untuk mengubah perniagaan gelap bapanya dan mencari tempat di dalam dunia kejam dan penuh dusta.

Ketika bercakap kepada media, Nadia Brian berkata, sebagai pelakon beliau ada tanggung jawab yang perlu dilaksanakan. Untuk karya ini, Nadia menambah perjuangan wanita dalam haknya menjadi topik dan isu yang diutarakan dalam drama 12 episod ini. 

"Saya tahu akan ada penonton di luar sana mungkin akan tertanya-tanya, kenapa, mengapa dan bagaimana untuk watak Hawa ini meneruskan hidup dan impiannya, 

"Bagi saya, kepercayaan serta semangat yang tinggi untuk meneruskan hidup walaupun mempunyai pelbagai masalah adalah tunjang kepada bagaimana watak ini berjalan seiring dengan karektor yang dibawakan. Saya rasa ada wanita di luar sana seperti Hawa di dalam drama ini," katanya. 

Bukan sekadar sebuah karya bergenre drama kekeluargaan yang disulami dengan aksi jenayah yang retorik, Bila takdir Melarang Cinta merungkai sebuah kisah cinta terlarang dalam dunia kongsi gelap. Namun apakah hubungan yang terbina mampu bertahan sekalipun terpaksa melawan takdir?

Namun menurut Jony Deng, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura berkata, Bila Takdir Melarang Cinta bukan sekadar drama cinta biasa, ia penuh dengan aksi, emosi dan dilema yang pasti akan membuatkan penonton teruja. Dengan plot yang mendebarkan, barisan pelakon yang mantap dan kisah cinta yang diuji oleh kepercayaan, dendam dan pengorbanan, pastinya membuatkan penonton tidak senang duduk. 

Sudah ditayangkan sejak 14 Februari lalu, Bila Takdir Melarang Cinta boleh ditonton secara eksklusif di semua platform iQIYI sekarang!. 

Catat Ulasan

0 Ulasan