'CLASSICAL TREASURES' CABAR VOKAL SYAFINAZ APRIL INI

Penyanyi dan guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat bakal muncul dalam sebuah konsert klasik opera di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), pada 5 April depan. Kemunculan Syafinaz bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) itu akan mencabar kelantangan vokal sopranonya menerusi 'Classical Treasures' di mana beliau akan mengalunkan beberapa buah lagu dalam bentuk opera.

Persembahan Syafinaz bakal mencipta nostalgia pada malam tersebut kerana beliau bersama MPO akan mengalunkan petikan dari opera Romeo And Juliet ciptaan Gounod. Versi opera ini telah mencatat populariti yang luar biasa. “Ah! Je veux vivre” yang juga dikenali sebagai Juliet’s waltz’, adalah petikan yang menuntut lontaran vokal yang hebat dan dialunkan pada awal persembahan opera.

Syafinaz seterusnya akan mengalunkan “Der Hölle Rache” yang dipetik dari opera The Magic Flute ciptaan Mozart. Opera ini mendapat sambutan hangat ketika dipentaskan buat pertama kali di Vienna pada tahun 1791 dan kekal unggul hingga ke hari ini. “Der Hölle Rache” adalah salah sebuah petikan spektakular dari opera ini yang cukup mencabar tahap vokal penyanyinya.

Memulakan karier seawal usia 9 tahun sebagai seorang penyanyi kanak-kanak di RTM sehingga mencatatkan karier hebat di dalam arena muzik tempatan dan antarabangsa sebagai seorang  penyanyi klasikal dan jurulatih vokal terbaik di Malaysia, penyanyi yang seakan wajahnya seperti pelakon utama siri Korea popular, Penthouse, Kim So-yeon menerusi watak sebagai Cheon Seon-jin, Syafinaz Selamat dikatakan juga akan mengalunkan beberapa buah lagu yang terdapat di dalam drama tersebut dalam bentuk opera.

Menariknya, konsert ini akan menampilkan Konduktor Residen Gerard Salonga di mana Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) akan mengiringi keseluruhan persembahan tersebut. 

Syafinaz Selamat antara penyanyi klasikal wanita Melayu yang cukup berpengaruh di Malaysia. Dalam usia 52 tahun, beliau mampu mengekalkan gaya pesona sebagai seorang bintang dan figura seni tersohor dalam genre seni suara vokal malahan dianggap sebagai guru dan juri paling popular di dalam industri muzik tanah air. 

"Saya cukup teruja ketika pihak DFP melamar saya untuk persembahan ini. Classical Treasures' amat berbeza dengan showcase yang lain. Ia mencabar tahap vokal seseorang penyanyi malahan ia bukan seperti anda menonton persembahan lagu-lagu pop, balada dan klasik yang lain.

"Persembahan ini akan menguji bagaimana penyanyi itu mampu mengawal  tonasi dan lontaran vokal tanpa menggunakan mikrofon. Ia hanya menggunakan ruang dengan bunyi dan gerak emosi dibantu dengan alunan vokal yang dipadankan dengan muzik orkestra.

"Ini suatu pengalaman yang cukup berbeza yang kita akan jadikan sebagai satu bentuk persembahan yang boleh mencipta kenangan dan magisnya yang tersendiri. Ia bukan seperti show biasa, ia luar biasa dan anda peminat muzik wajar datang menonton bagaimana seorang Syafinaz Selamat dipentas DFP," kata Datuk Syafinaz Selamat dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Konsert yang bakal mementaskan enam karya klasikal agung itu termasuklah Oeverture of The Barbel of Sebille ciptaan Rossini dan Nocturne in E flat ciptaan Chopin akan dipimpin oleh Konduktor Residen Gerard Salonga

MPO akan mengakhiri konsert tersebut dengan karya-karya hebat, iaitu Hungarian Rhapsody No.2 ciptaan Liszt dan Symphony No.7 ciptaan Beethoven.

Alami bagaimana seni muzik dan vokal dipadankan dengan muzik simfoni MPO yang cukup mengkagumkan. 

Classical Treasures  menampilkan Datuk Syafinaz Selamat (vokal) dan Gerard Salonga (Konduktor MPO) pada 5 April 2025, Sabtu pukul 8.00 malam. 

Kredit Gambar: Orkestra Filharmonik Malaysia, DFP. 

Catat Ulasan

0 Ulasan