Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) sekali lagi membuktikan keunggulan muzik tanah air apabila dua bintang naungan label terkenal, Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dan Nadeera, tampil dengan persembahan yang bukan sahaja memukau tetapi juga menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
Malam penuh magis itu menjadi saksi bagaimana bakat, emosi dan dedikasi mampu mencipta sebuah pengalaman luar biasa buat peminat seni muzik tempatan.
Persiapan Rapi Menjelang AJL39
Sebelum AJL39, Hael mendapat satu kejutan istimewa, apabila beliau menerima sebuah mikrofon bertatahkan kristal Swarovski dalam rona hijau, sepadan dengan busana oleh pereka terkenal Rizman Ruzaini. Hadiah istimewa ini datangnya daripada seseorang yang sangat bermakna dalam hidupnya, sekali gus menjadikan momen tersebut lebih beremosi dan peribadi.
Bagi Nadeera pula, perjalanan ke AJL39 penuh dengan emosi mendalam. Sewaktu sesi latihan, air mata kegembiraan mengalir apabila dia mendengar lagunya berkumandang di Axiata Arena buat pertama kalinya. Momen tersebut merupakan detik yang paling dinanti-nantikan dalam hidupnya setelah bertahun-tahun mengejar impian untuk berdiri di pentas berprestij ini.
Penampilan Glamor & Latihan Vokal Oleh Dato’ Syafinaz Selamat
Untuk acara karpet merah dan persembahan AJL39, Nadeera menyarung gaun merah rekaan Farrarahim Atelier yang diserikan dengan tajaan barang kemas eksklusif dari jenama Ceres Jewels bernilai RM2 juta, melengkapkan pesonanya sebagai seorang bintang. Manakala, Hael juga turut menerima tajaan daripada jenama terkenal antarabangsa Dolce & Gabbana yang menambahkan lagi keterampilan aura si pemakai pada malam penuh bersejarah.
Bukan sekadar penampilan, persiapan vokal mereka juga diberikan perhatian serius. Kedua-dua artis menjalani latihan vokal intensif di bawah bimbingan guru vokal tersohor tanah air iaitu Dato' Syafinaz Selamat dan dibantu oleh Cikgu Azrin Nor. Dedikasi ini memastikan mereka berada dalam kondisi terbaik untuk memberikan persembahan yang luar biasa.
Persembahan Penuh Drama & Kejutan Di Pentas AJL39
Setiap persembahan di AJL39 bukan sekadar nyanyian, tetapi sebuah penceritaan yang mampu menyentap emosi. Nadeera yang kelihatan anggun dalam persalinan putih oleh label eksklusif, Haute Couture by Rizalman Ibrahim sepatutnya melaksanakan gimik ‘flying veil’ yang dirancang untuk menjadi elemen kejutan dalam persembahannya. Namun, atas sebab-sebab teknikal, pihak Rocketfuel Entertainment bersama Huge Entertainment House terpaksa membuat perubahan di saat akhir dan menggantikannya dengan 'The Fallen Veil' dari atas. Walaupun begitu, Nadeera tetap menguasai pentas dengan penuh yakin dan berjaya meraih ‘standing ovation’ dari penonton. Sorakan gemuruh yang diterima membuktikan kehebatan vokalnya dan penghayatan menerusi lagu "Bukan Lagi Kita".
0 Ulasan