FAIZAL TAHIR KEMBALIKAN 'JATI DIRI' MELALUI MUZIK DAN LAGU

Penyanyi dan komposer tersohor, Faizal Tahir, kembali dengan album terbaru berjudul Jati Diri. Berkonsepkan kenduri kendara dan rewang, Jati Diri merupakan album ketujuh penyanyi Faizal Tahir di mana ia merupakan hasil kerjasama dengan rakan penerbit muda yang sedang meningkat naik iaitu Glowrus melalui duo ‘Let Zapin’.

Album yang mengambil pendekatan ke arah klasik tradisi masyarakat melayu ini melambangkan budaya dan nilai perpaduan yang ingin diketengahkan, sekali gus menjadikan Jati Diri sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini.

Menurut Faizal, konsep album ini dipilih kerana ia sangat dekat di hatinya, memandangkan penghasilannya melambangkan semangat gotong-royong, perpaduan, dan kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden. Dilancarkan penuh tradisi kenduri kendara di sebuah perkampungan melayu yang terletak di Sungai Pelek, Selangor pada Sabtu lepas, Faizal Tahir berharap penerbitan album ini dapat diterima peminat sekali gus mencuri perhatian pendengar muda yang dahagakan album tradisional pada abad ke-25 ini.


“Konsep ini menggambarkan bahawa perkara yang baik wajar dikongsi bersama. Apabila kita berkumpul untuk sesuatu yang positif, kita bukan sahaja memperoleh keberkatan daripada Allah, tetapi juga memperkukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain.


"Saya melihat Jati Diri sebagai sebuah album tradisi melayu yang kaya dengan elemen seni budaya dan warisan masyarakat kita. Sebagai penyanyi yang asalnya dari kampung, saya mahu peminat dan pendengar muzik turut merasai bagaimana kita membesar di kampung melalui lagu-lagu yang terkandung di dalam album ini," katanya.



Mengandungi, 16 buah lagu, Jati Diri turut menampilkan dua figura hebat dalam industri muzik, Altimet dan Dato' M. Nasir, sebagai penyanyi undangan. 


Menurut Faizal, album Jati Diri bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga satu peringatan agar masyarakat tidak melupakan akar budaya dan identiti sendiri dalam arus globalisasi.


“Inspirasi utama saya adalah melihat betapa banyak jati diri kita yang semakin hilang. Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya, dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah,” tambah Faizal.


Pemilihan M. Nasir dan Altimet dibuat kerana pengaruh besar yang mereka miliki serta kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya masing-masing.



Dari segi susunan muzik dan lirik, Jati Diri berbeza daripada album-album Faizal sebelum ini kerana ia lebih berakar kepada budaya dan warisan tempatan. Faizal menekankan bahawa cabaran terbesar dalam proses rakaman adalah memastikan setiap elemen dalam album ini sejajar dengan visi dan mesej yang ingin disampaikan.

Lagu ‘Orang Kampung’ merupakan lagu pertama dari album ini yang akan dipromosikan dan ia adalah sebuah lagu yang ceria dan penuh semangat, meraikan keunikan serta nilai-nilai kehidupan di kampung. Dengan melodi yang rancak dan lirik yang menggambarkan keindahan budaya serta sikap mesra orang kampung, lagu ini membawa pendengar merasai kehangatan suasana desa. 

Video lirik ‘Orang Kampung’ sudah boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir dan album Jati Diri boleh didengari di semua platform penstriman digital dan dijangka membawa satu gelombang baharu dalam industri muzik tempatan dengan menampilkan gabungan identiti budaya, nilai tradisional dan mesej penuh makna.

Bakal menerjah pasaran digital bermula 7 Februari ini, Jati Diri juga bakal diterbitkan dalam bentuk fizikal dengan kuantiti penerbitan yang agak terhad. Dalam satu sesi temu bual bersama Faizal Tahir baru-baru ini, Pemenang Vokal Terbaik di AJL23, 2009 itu berkata, Jati Diri juga akan diedarkan secara Box Set mengandungi CD, Booklet dan Gold.

Menariknya juga, penghasilan Gold ini memberi dimensi bahawa Faizal bukan sahaja mahu peminat terhibur dengan muzik melalui lagu, malahan penyanyi dan komposer terkenal itu juga berharap masyarakat kita dapat memulakan pelaburan melalui simpanan Gold yang memberi pulangan yang menguntungkan masa hadapan.

“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional. Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda. Menariknya album ini akan dapat Gold dan saya nak anda rasai dan hargainya,” jelasnya.

Penerbitan album Jati Diri bukan lah sekadar hiburan, tetapi juga satu penghormatan kepada nilai-nilai dan semangat kebersamaan yang masih kuat dalam masyarakat kampung. Sesuai untuk dinyanyikan bersama, Orang Kampung mengajak semua untuk menghargai asal-usul dan keindahan hidup sederhana yang penuh kebahagiaan.

Catat Ulasan

0 Ulasan