Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengarahkan 45 pawagam di seluruh negara menunda tayangan filem aksi terbaharu, Strike: Silat Cult Master yang sepatutnya ditayangkan bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, berkata penangguhan dibuat berikutan pemilik syarikat produksi, Katana Film Sdn Bhd, Mallory Lee gagal membuat bayaran kepada kira-kira 50 kru termasuk pelakon filem berkenaan.
Menurut Azmir, kegagalan Mallory melunaskan bayaran kepada kru terbabit selepas tiga kali perbincangan bersama dilakukan menuntut pihaknya mengeluarkan arahan penangguhan sehingga isu berkenaan diselesaikan.
"Sebenarnya kita sudah adakan tiga kali mesyuarat bersama Mallory. Kami terima aduan pada 3 Januari daripada kru dan kami panggil mesyuarat untuk kali pertama bersama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Mallory dan kru.
"Pada mesyuarat pertama, kami mahu pastikan penerbit berikan tarikh untuk buat pembayaran kepada kru. Kami dimaklumkan bayaran akan diselesaikan sebelum tayangan perdana pada 6 Februari, tetapi masih gagal melunaskannya.
"Jadi kami panggil lagi pada mesyuarat kedua dan tanya bila tarikh boleh buat pembayaran. Kami juga memanggil pelabur filem dalam mesyuarat dan memaklumkan jika kami tarik tayangan, ini akan merugikan semua pihak merangkumi pelabur, penerbit dan kru.
"Saya minta kalau boleh mereka selesaikan bayaran. Jadi, pada mesyuarat kali ketiga kru setuju mengurangkan bayaran daripada 100 peratus kepada 30 peratus terlebih dahulu supaya filem boleh ditayangkan dan kutipan filem boleh digunakan untuk bayar selebihnya," katanya yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan penangguhan tayangan filem Strike: Silat Cult Master bersama beberapa persatuan perfileman di Komp;eks FINAS Hulu Kelang, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Presiden PROFIMA, Khalil Salleh dan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Televisyen Malaysia (PTVM), Dato' Jurey Latiff Rosli.
Azmir berkata, selepas ketiga-tiga tarikh ditetapkan termasuk rundingan diberikan kru tidak boleh diikuti Mallory dan pelabur filem, maka FINAS terpaksa meminta untuk menangguhkan tayangan.
"Saya sudah maklum kepada semua pihak, ini adalah isu besar kerana kira-kira 50 kru terkesan. Cuma, pada malam gala filem hanya pelakon dapat bayaran dan ini membuatkan kru marah.
"Kami dapat makluman daripada kru kira-kira RM360,000.00 bayaran masih belum diselesaikan kepada semua yang terbabit. Tapi, selepas bayar kepada pelakon, saya tak pasti berapa baki yang tinggal.
"Oleh itu, saya ambil keputusan untuk beritahu kepada pawagam supaya tunda dahulu tayangan sehingga isu ini selesai. Saya lihat ini membabitkan ketenteraman awam dan tidak positif.
"Saya bimbang perkara ini akan mengundang kepada lebih banyak isu lain, jadi saya nasihat kepada penerbit untuk tunda dahulu sehingga isu selesai," katanya.
Sementara itu, Azmir memaklumkan kru yang berdepan masalah bayaran atau keselamatan di lokasi penggambaran boleh membuat aduan terus kepada FINAS, persatuan seni termasuk badan berkuasa lain.
"Kalau boleh saya mahu uar-uarkan mengenai proses aduan supaya pekerja atau kru tahu ada saluran untuk aduan sebegini.
"Tidak semestinya mengenai isu bayaran gaji, mengenai keselamatan, perbalahan dan sebagainya ketika bekerja juga boleh buat aduan.
"Kalau membabitkan aduan secara profesional boleh buat dahulu kepada FINAS menerusi emel, info@finas.my. Selain itu, melalui saluran persatuan, polis, SPRM dan Jabatan Buruh (Jabatan Tenaga Kerja)," katanya.
Terdahulu, beberapa kru filem Strike: Silat Cult Master memuat naik hantaran di Facebook mendesak syarikat produksi itu melunaskan gaji tertunggak.
Malah, mereka menunjukkan protes dengan tidak menghadiri majlis tayangan perdana filem Strike: Silat Cult Master yang berlangsung di Petaling Jaya pada 6 Februari lalu.
Mallory, bagaimanapun dilapor berkata, dia berjanji akan berusaja melunaskan bayaran tertunggak kepada kry filem sebelum esok (hari ini).
Filem Strike: Silat Cult Master menelan belanja RM1.5 juta menceritakan perjuangan seorang lelaki yang berusaha mencari pembunuh ibunya.
Ia ditayangkan di pawagam hari ini dan menampilkan barisan pelakon seperti Aiman Ameer yang juga juara Hero Remaja 2023, Azril Safix (finalis Hero Remaja) dan Fify Azmi.
Sumber berita dipetik dari BHarian
0 Ulasan