Kehebatan Dato' Jamal Abdillah mengalunkan lebih 13 buah lagu tanpa henti malam tadi, membuktikan dalam usia separuh abad, figura tersohor dalam industri seni suara ini masih unggul berdiri menghiburkan kira-kira 1,200 penonton.
Konsert Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu malam menampilkan Dato' Jamal Abdillah beraksi secara solo itu boleh dikatakan sebuah persembahan luar biasa yang mencipta magisnya tersendiri.
Persembahan Jamal selama 2 jam itu membawa penonton menyelami kisah cinta, harapan dan kasih sayang melalui seleksi lagu yang didendangkan beliau.
Lagu Kau Lupa Janji ciptaan komposer dan tokoh muzik legenda, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab bersama Akbar Nawab dan liriknya ditulis oleh Datuk Habsah Hassan menjadi lagu pembukaan konsert yang dianjurkan Live Injection Sdn Bhd.
Kelunakan vokal Jamal Abdillah mengalunkan pelbagai genre lagu dalam konsert ini membuktikan Juara Bintang RTM ke-7 pada tahun 1979 ini masih ampuh menempa nama sebagai Penghibur Legenda Terbaik Sepanjang Zaman.
Menghiburkan penonton dan peminat muzik menerusi rangkaian lagu popular beliau dari tahun 80-an hinggalah ke era 2000, Jamal Abdillah mendendangkan lebih 13 buah lagu hitsnya iaitu Kau Lupa Janji, Kekasih Awal dan Akhir, Perjalananku, Gadis Melayu, Takdir Penentu Segala, Seroja, Penghujung Rindu, Sandarkan Pada Kenangan, Aku Penghibur, Aku (OST), Azura, Seniman Menangis dan empat lagu secara medley iaitu Nasib Diriku, Ke Mana Ku Bawa, Sendiri dan Cenderawasih.
Pada konsert tersebut, segmen paling menyentuh perasaan adalah dengan kemunculan anaknya Nor Azura Yamani bagi segmen lagu Azura di mana Jamal memeluk erat dan mencium anak kesayangannya di hadapan penonton di atas pentas sekali gus mendendangkan lagu Azura yang menjadi lagu runut bunyi bagi filem Azura tahun 1984 arahan Deddy M.Borhan.
Detik berharga itu diteruskan lagi dengan kemunculan anak sulungnya, Osama bagi segmen solo dan duet bersama Jamal bagi lagu Seniman Menangis yang ironinya cukup menyentuh hati sanubari sehingga membuatkan penonton mengalirkan air mata.
Konsert yang juga menampilkan Wany Hasrita sebagai artis undangan bagi segmen lagu Sandarkan Pada Kenangan ini berjaya merakamkan pelbagai momen yang pasti akan dikenang dalam lipatan sejarah industri muzik tempatan, sekali gus membuktikan dalam usia empat dekad berbakti dalam arena seni suara, Dato' Jamal Abdillah masih relevan dalam industri muzik tanah air.
Ketika bercakap di hadapan penonton di pentas, Jamal berkongsikan bahawa dia bakal muncul dengan satu lagi konsert yang lebih besar bagi merungkai perjalanan lima dekad dalam industri muzik nusantara dalam jangka masa beberapa tahun akan datang.
Konsert Dato' Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura ini menampilkan Raja Mohd Sham sebagai pengarah muzik yang disokong oleh Persatuan Seniman Malaysia.
0 Ulasan