Penerbit filem terkemuka Malaysia, Astro Shaw, terus mengukuhkan kedudukan di persada industri perfileman antarabangsa dengan mengumumkan kerjasama strategik bersama Sympatico; label produksi di bawah Double Vision, serta Argo Films dari UK yang diterajui oleh penerbit terkenal Richard Johns, dan Mocha Chai Laboratories, bagi penerbitan filem romantik komedi terbaru bertajuk Mojo.
Astro Shaw bertindak sebagai penerbit bersama serta memimpin strategi pemasaran dan pengedaran di Malaysia untuk tayangan pawagam tahun ini. Dalam pada itu, Mojo bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi pengedaran oleh syarikat berpangkalan di UK, SC Films International.
Filem Mojo menyaksikan gabungan tenaga kreatif serta pelakon dari Malaysia dan Indonesia. Naskhah ini diarahkan oleh Min Lim, yang sebelum ini mengarahkan siri Kopitiam versi reboot, manakala penulisan skrip diketuai oleh satu-satunya penulis dari Asia yang terpilih dalam Episodic Labs Cohort 2024 anjuran Film Independent, Honey Ahmad (Motif, Saladin, Walinong Sari) bersama penulis lain seperti Zahir Omar (Fly By Night, The Bridge), dan penulis terkenal Chi-Ren Choong (The Bridge, Liar). Sementara itu, Michelle Chang (Venus on Mars, Wonderland) dari Mocha Chai Laboratories bertindak sebagai penerbit bersama Richard Johns (Shadow of the Vampire, The Liability).
Watak utama, Adi, dilakonkan oleh pelakon Indonesia yang terkenal menerusi filem Sang Kiai dan Posesif, Adipati Dolken, bergandingan dengan pelakon hebat Malaysia, Mimi Lana. Bintang lain yang turut menjayakan filem ini ialah Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato’ A. Tamimi Serigar, Tony Eusoff, Gambit Saifullah dan Farah Ahmad.
Sesi penggambaran bermula Januari lalu di Perlis dan menerima sokongan padu daripada kerajaan negeri Perlis.
Ketika berkata dalam satu kenyataan media, Min Lim yang merupakan pengarah filem Mojo menganggap, projek filem bersama Astro Shaw ini antara projek terbesar di dalam industri perfileman tempatan yang mampu mencipta kolaborasi antara dua buah negara
dari segi penerbitan dan pengedaran filem sekali gus mewujudkan kerjasama dua hala yang amat berkesan.
"Saya amat gembira apabila Astro Shaw turut serta dalam penghasilan filem ini. Sebagai penerbit bersama dan pengedar, komitmen mereka dalam menyokong produksi tempatan seperti Sympatico benar-benar memberi makna besar dalam merealisasikan visi kami iaitu menghasilkan sebuah karya yang autentik dan unik.
"Kami tidak sabar untuk mempersembahkan filem romantik komedi ini ke layar perak pada penghujung tahun ini dan berharap gabungan bakat luar biasa, latar yang memukau, serta nilai emosi dalam kisah ini akan menghiburkan penonton. Kami mengharapkan Mojo mampu menyerlahkan keunikan penceritaan serta keupayaan produksi Asia Tenggara di persada antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sebagai pemain industri, mereka tertarik untuk bekerjasama dengan Min Lim kerana beliau bukan sahaja mampu memberikan visi untuk membawa karya kita menjalar ke seluruh pelusuk dunia, tetapi penghasilannya mungkin menjadi karya terbaik untuk pembukaan bagi tahun yang akan datang. Justeru, pemilihan Min Lim untuk menerajui projek ini adalah di fikirkan wajar bagi membawa dimensi baharu industri perfileman tempatan.
“Astro Shaw pernah bekerjasama dengan pengarah Min Lim menerusi beberapa naskhah sebelum ini dan salah satunya adalah siri premium Astro Originals, Liar. Pengalaman dan hubungan baik ini membuatkan kami tidak teragak-agak untuk bersetuju terlibat dalam filem Mojo. Tambah pula kerjasama ini menyaksikan kali pertama kami bergabung usaha dalam menghasilkan filem, di samping mengangkat latar dari salah satu negeri yang jarang diketengahkan di layar perak iaitu Perlis.
Dengan gabungan skrip yang memikat, barisan pelakon berbakat, serta sinergi luar biasa antara tenaga kreatif dari Malaysia, Indonesia, dan UK, kami yakin Mojo memiliki potensi besar. Tambahan pula, dengan penglibatan pasukan hebat antarabangsa yang dibawakan oleh Sympatico, kami teruja untuk melihat projek ini melangkah lebih jauh dan mencipta impak di pentas global," katanya.
Mojo mengisahkan Adi yang bekerja di Moo Magic Farms berjaya melonjakkan jualan syarikat ternakan tersebut dengan menjadikan seekor lembu unik, Mojo, sebagai bintang media sosial. Dalam pada itu, syarikat ternakan tersebut giat mengambil alih ladang tenusu kecil di luar bandar demi keuntungan. Namun hanya satu perusahaan di Kampung Semerah Padi yang diusahakan oleh petani, Atan bersama anak perempuannya, Ayu menolak dan tidak mahu menjual tanah mereka. Keadaan menjadi huru-hara apabila Atan menculik Mojo untuk dijadikan tebusan.
Demi mendapatkan Mojo semula, Adi menyusup ke Kampung Semerah Padi dan menyamar untuk memujuk penduduk kampung menjual tanah mereka. Dalam kekalutan, Adi mula jatuh cinta dengan Ayu dan menikmati kehidupan sederhana di kampung. Adi berdepan dilema terbesar dalam hidupnya sama ada memilih kejayaan yang diimpikan, atau mengikuti kata hatinya yang akhirnya menemukan apa yang benar-benar berharga?.
Saksikan Mojo akan datang.
0 Ulasan