Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengimbas kembali tahun 2024 yang penuh dengan pencapaian membanggakan dan inisiatif berkesan yang telah melonjakkan industri muzik tempatan ke tahap tertinggi dalam sejarah. Di sebalik ancaman dari proliferasi muzik janaan kercerdasan buatan (AI), RIM berdiri teguh dengan komitmennya untuk memupuk pertumbuhan pasaran muzik, memperkasa perlindungan hak cipta dan menyokong semua pengamal dalam ekosistem industri muzik tempatan.
Pendapatan Industri Muzik Tempatan Pecah Rekod
Pada 2024, pendapatan industri muzik tempatan meningkat 11.5% kepada RM339 juta daripada RM304 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya. Ini merupakan pendapatan tertinggi dalam sejarah industri muzik tempatan dan memecah rekod jumlah pendapatan tertinggi industri muzik tempatan sebelum ini sebanyak RM315 juta yang dicatat pada tahun 1996. Pencapaian luar biasa ini disumbang oleh peningkatan 14% dalam hasil pendapatan digital dan 7.6% peningkatan kutipan royalti tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) muzik utama negara berbanding tahun sebelumnya.
Menerajui Pembangunan Industri Muzik Tempatan
Sepanjang 2024, RIM melaksanakan pelbagai aktiviti untuk pembangunan industri muzik tempatan antaranya dengan mengetengahkan lagu-lagu yang paling tinggi distrim di Malaysia dalam tiga bahasa utama melalui program ‘Carta RIM’ mingguan yang disiarkan di stesen-stesen radio Melayu, Inggeris dan Cina milik Astro Radio iaitu masing-masing ERA, Hitz dan MY. Program carta radio ini disiarkan kepada purata pendengar sebanyak 4,846,000 (ERA), 2,201,000 (HITZ) dan 2,355,000 (MY) setiap hari Sabtu dengan siaran ulangan pada hari berikutnya.
RIM juga telah berjaya mendapat kerjasama stesen penyiar rasmi dalam penganjuran acara ‘Anugerah Industri Muzik’ edisi ke-24 (AIM24), acara anugerah berprestij yang dinanti-nantikan ramai yang bakal berlangsung pada tahun ini.
Lagu-lagu dan Artis-artis Paling Popular Tahun 2024
Kejayaan Penyanyi-penyanyi Malaysia di Luar Negara
Beberapa penyanyi ternama Malaysia telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di luar negara menerusi lagu-lagu hit mereka. Penyanyi wanita Ernie Zakri telah berjaya merangkul anugerah ‘Soundtrack Sinetron Paling Ngetop (OST)’ di Anugerah SCTV di Indonesia menerusi “Masing-Masing”, lagu duet beliau dengan Ade Govinda. Penyanyi lelaki Hael Husaini pula telah berjaya memenangi Anugerah ‘Lagu Tema Terbaik’ di Asia Academy Creative Awards 2024. Penyanyi Shila Amzah yang cukup popular di rantau Asia telah berjaya menjadi finalis program ‘Singing with Legends’ di negara China manakala kumpulan wanita popular, Dolla pula terpilih mewakili Malaysia dalam program realiti ‘Show It All’ juga di negara yang sama.
Firdhaus Farmizi menempa kejayaan dalam industri Mandopop dengan duetnya bersama DIOR, “Divorce in Ghana” yang melepasi 17 juta aliran di Spotify. Azora Chin (You Zhangjing) berjaya menang tempat pertama dalam program ‘Call Me by Fire’ oleh Mango TV di China - menjadi pemenang paling muda dalam sejarah rancangan itu. Pada masa yang sama, Jeryl Lee memenangi tempat kedua dalam pertandingan nyanyian realiti TV China, ‘The Next Singer’ untuk tahun 2024. Chandhine Kaur dan Arulini Ashwiinaa Arumugam berjaya menjadi finalis dalam dua rancangan realiti berasingan di Zee TV dari India; manakala Zubir Khan mendapat perhatian antarabangsa untuk hit viralnya, “Yennode Macha” yang mencapai lebih 17 juta tontonan di YouTube.
Menjalin Kerjasama Rapat dengan Kerajaan untuk Melindungi Kepentingan Pemilik Hak Cipta
RIM kekal proaktif dalam perhubungan dengan kementerian dan agensi kerajaan berkenaan untuk menggubal dasar dan undang-undang baharu yang menyokong pertumbuhan industri muzik tempatan.
- Lanjutan Perlindungan Terma Hak Cipta: RIM mengadakan perbincangan dengan kementerian kerajaan yang berkaitan untuk meminda Akta Hak Cipta untuk melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta karya lagu dan rakaman bunyi daripada 50 tahun ketika ini kepada piawaian antarabangsa baharu selama 70 tahun.
- Mengawal Selia Penjanaan Lagu Menerusi Kecerdasan Buatan (AI): Dalam sesi penglibatannya dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), RIM mencadangkan penggubalan undang-undang baharu agar kebenaran pemilik hak cipta diperolehi dalam penggunaan lagu-lagu berhak cipta untuk melatih model janaan muzik menerusi kecerdasan buatan (AI).
Tindakan Anti Cetak Rompak
RIM dengan sokongan bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil langkah melindungi harta intelek ahli-ahli melalui penyingkiran penjual yang melanggar hak cipta di laman e-dagang popular dan serbuan ke atas premis perniagaan yang menggunakan atau memperdagangkan muzik berhak cipta tanpa lesen atau kebenaran pemilik hak cipta.
Melindungi Hak Ahli
RIM mengambil inisiatif penting untuk melindungi hak ahli dengan merunding semula dan membuat pindaan yang diperlukan kepada perjanjian kerjasama berkaitan antara pemegang hak dan stesen penyiar.
Bantuan untuk Pengamal Industri Muzik
RIM terus menyalurkan bantuan kepada pengamal industri muzik yang dalam kesusahan melalui program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik (SRIM)’. Program amal ini telah dilancarkan oleh Menteri KPDN, YB Datuk Armizan bin Mohd Ali pada April 2024 dan sehingga kini telah memyalurkan bantuan kepada seramai 48 orang pengamal industri muzik tempatan yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, wartawan hiburan dan ramai lagi. Dengan kerjasama Public Performance Malaysia (PPM), inisiatif ini adalah pengembangan dari Dana Kecemasan RIM yang telah ditubuhkan sebelum ini untuk menyediakan bantuan kewangan segera kepada pengamal industri muzik yang menghadapi masalah kewangan semasa tempoh pandemik.
Rosmin Hashim, Pengerusi RIM, meluahkan keyakinan terhadap masa depan industri muzik tempatan dengan menyatakan, “Pelbagai inisiatif RIM untuk membangunkan industri muzik tempatan membuahkan hasil dengan pelbagai kejayaan membanggakan yang dicapai penggiat industri muzik tempatan pada tahun 2024.
"Inisiatif ini merangkumi usaha menggalakkan pelaburan dalam industri muzik tempatan, melindungi harta intelek ahli-ahli, penyerahan data relevan dalam pembentukan dasar kerajaan dan penggubalan undang-undang baru berkaitan muzik serta pemberian bantuan kepada pemain industri muzik dalam kesusahan. Pelbagai Inisiatif lain yang penting sedang diusahakan dan kami menggesa semua pihak berkepentingan untuk terus menyokong usaha RIM ini," katanya.
Kredit Gambar: MPO Malaysia, GME Malaysia, Firdhaus Farmizi & RIM Malaysia
0 Ulasan