Walaupun pernah mengadakan konsert solo di sini sekitar Mei tahun lepas, kumpulan popular era 90-an, Slam bakal mengulangi kejayaan sama menerusi Slam Bersama MPO yang bakal dipentaskan 22 Februari depan.
Konsert yang menggabungkan kolaborasi Slam bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) itu memilih Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sebagai destinasi utama bagi menterjemahkan sisi muzik Slam ke satu tahap yang lebih besar serta mengujakan.
Pemain gitar utama Slam, Shah berkata, mereka teruja dengan tawaran yang diberikan DFP. Sebagai sebuah kumpulan muzik yang memainkan genre pop rock dan balada, bekerja bersama MPO memberikan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan, apatah lagi sentuhan muzik pimpinan Ahmad Muriz Che Rose bersama barisan pemuzik orkestra MPO menjadikan sesebuah karya itu memiliki 'magis'nya yang tersendiri.
"Ini satu penghormatan buat kami. Saya ada pengalaman bermain bersama MPO dalam persembahan lain. Walaupun konsert ini merupakan persembahan solo kami yang kedua, saya merasakan ini suatu pengalaman yang mungkin bagi kami untuk tidak melepaskan peluang yang datang.
"Memainkan muzik bersama MPO sememangnya menjadi idaman kebanyakkan pemuzik mahupun artis solo atau berkumpulan, apabila saya mendengarkan muzik Slam dalam bentuk MPO Orkestra, saya merasakan akan ada sesuatu yang mungkin luar biasa yang ingin penonton hayati kerana mendengar muzik secara live band dengan MPO Orkestra sesuatu yang sangat berbeza," katanya.
Slam yang dianggotai Shah, Lili, Eddie, Man dan Zamani ini antara kumpulan muzik era 90-an yang masih aktif sejak tahun 1993 dan pernah menghasilkan 6 buah album studio, 2 album konsert live, tiga album kompilasi dan tiga album di pasaran Indonesia.
Sepanjang karier, kumpulan ini telah menggondol banyak anugerah di majlis muzik berprestij seperti Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Musik Indonesia, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Voice Of Asia di Kazakhstan.
Bakal menyajikan lebih 16 buah lagu kompilasi terbaik Slam dalam bentuk orkesta, Slam Bersama MPO akan disertai 65 pemuzik orkestra MPO dengan seleksi lagu terbaik mereka antaranya Mentari Muncul Lagi, Manisnya Rindu, Kembali Terjalin, Rindiani, Gerimis Mengundang, Jika Kau Rasa Getarnya dan sebuah lagu istimewa yang memberi penghormatan buat legenda muzik nusantara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad berjudul Salam Terakhir.
Ahmad Muriz Che Rose, konduktor MPO ketika ditemui media semasa sesi pengumuman konsert ini di ibu negara berkata, persembahan Slam bersama MPO pada 22 Februari ini bakal menghidangkan satu pengalaman muzik yang lebih besar sekali gus membuktikan dalam usia 3 dekad pembabitannya, inilah sebuah persembahan yang mungkin tidak akan dilupakan buat peminat muzik dari pelbagai latar belakang.
"Walaupun sudah banyak kita buat konsert, kali ini rasa sajian yang kita nak berikan kepada peminat Slam adalah sesuatu yang berbeza, yang mereka belum pernah alami lagi. Saya percaya, seleksi lagu yang akan kita hidangkan malam itu, pastinya akan meresahkan jiwa serta menggetarkan rasa sehingga buat anda tidak boleh melupakan saat manis dan kenangan penuh berharga ini.
"Beberapa lagu sudah digubah dalam bentuk orkesta. Saya sudah mendengarkannya. Saya jadi terkejut dan tidak percaya, lagu Slam sehebat itu. Bagi anda yang ingin mendengarkan bagaimana muzik Slam digubah 100% dalam bentuk Orkestra, kenalah datang untuk menonton persembahan Slam Bersama MPO yang berbaki lagi dua minggu," katanya.
Bagi anda yang ingin menyaksikan konsert Slam Bersama MPO pada 22 Februari 2025 ini, boleh klik di sini.
0 Ulasan