SOLOZ: GAME OF LIFE, KARYA PALING 'SUKAR' DIBIKIN SYAFIQ YUSOF!

Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah filem cereka yang menggabungkan animasi dengan lakonan pelakon secara realiti. Itulah cabaran yang terpaksa ditempuhi pengarah filem berbakat besar, Syafiq Yusof dalam menghasilkan Soloz: Game Of Life

Filem yang diterbitkan Key Billions Sdn Bhd ini merakamkan detik penuh bersejarah melalui perjalanan hidup seorang ikon e-sukan tanah air, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz, menawarkan sesuatu yang amat istimewa. Soloz bukan sekadar nama yang dikenali dalam arena e-sukan, beliau merupakan simbol keberanian dan ketabahan dalam mengejar impian. Dari seorang pemuda biasa dari Seremban, Negeri Sembilan, Soloz telah mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya mengukir nama sebagai pemain e-sukan profesional dalam dunia Mobile Legends: Bang Bang.

Filem ke-17 arahan Syafiq Yusof ini dibikin penuh berhati-hati sehingga keseluruhan jalan cerita dan efek yang dipersembahkan amat mengujakan, malahan ia memberikan dimensi bahawa inilah filem Malaysia bertaraf antarabangsa. Sekiranya anda peminat filem berbentuk gamers ataupun filem animasi dengan lakonan secara real, pastinya anda akan menyukai filem terbaharu arahan pengarah box-office itu. 

Ketika ditemui media selepas tayangan filem tersebut di sebuah acara malam gala di Petaling Jaya, Syafiq mendedahkan bahawa Soloz: Game Of Life adalah karya pertama yang amat susah dihasilkannya. Pembikinan filem yang berdurasi 139 minit itu agak mencabar kredibilitinya sebagai seorang pengarah filem.

"Saya rasa inilah filem paling sukar untuk saya hasilkan. Ia mencabar mental dan fizikal saya kerana cerita ini menggabungkan elemen animasi dengan lakonan pelakon yang disunting menjadi  sebuah cerita. 

"Pembikinan karya ini memakan masa yang agak lama. Jadi untuk menghasilkan sesuatu yang tidak mengecewakan  dengan gabungan animasi secara real, saya menggunakan khidmat syarikat Moontoon untuk bekerjasama," katanya.

Dari segi sinematografi, filem ini memaparkan teknik kamera yang menarik bagi menyuntik pengalaman penontonan yang menyeronokkan. Beberapa babak dirakamkan secara teliti hanya menggunakan gerakan kamera sahaja dibantu dengan reaksi pelakon melalui mimik muka dan lakonan yang berkesan.

Ketika ditanya mengenai sasaran kutipan filem ini, pengarah yang terkenal dengan cerita dan efek luar biasa ini mengakui bahawa tiada sasaran yang diletakkan namun berharap penonton dan peminat filem tanah air dapat menerima naskhah ini kerana ia dekat dengan masyarakat bahkan ia menceritakan kisah sebenar seorang gamers yang cukup berpengaruh. 

"Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran kutipan kerana saya mahu penonton melihat filem ini dari pelbagai aspek, kerana apa yang saya paparkan adalah untuk mengajak penonton melihat tentang bagaimana untuk menjadi lebih baik, berkeyakinan dan terus berusaha untuk berjaya dalam hidup. 

"Jika itu rezeki saya dan penonton menyukai karya ini, Alhamdullilah.  Walaupun akan ada cakap-cakap sinis mengenai keburukan filem ini, tetapi saya percaya niat saya untuk membikin filem ini adalah untuk memberi hiburan, nasihat dan berkongsi cerita tentang seseorang yang amat kita kagumi dari segi perjuangan hidup walaupun ada orang lain lagi, namun bagi saya Soloz adalah yang terbaik," katanya.

Manakala bagi pelakon Hun Haqeem pula, beliau berkongsikan bahawa untuk mendapatkan sisi lakonan yang berbeza, beliau terpaksa duduk lebih lama untuk mengenali siapa sebenarnya Soloz di kaca mata rakyat Malaysia. 

"Untuk watak Soloz ini, saya dibawa berjumpa dengan Soloz. Kami duduk berbual dan mengenali hati budi masing-masing. Saya melihat bagaimana beliau berinteraksi, cara berjalan, bercakap dan sebagainya. Itu memberi saya kekuatan bagaimana untuk menterjemahkan lakonan sebagai watak Soloz dalam naskhah ini," katanya.

Menampilkan lakonan hebat Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Imran Aqil, Syafie Naswip, Wafiy A’an, Noki K-Clique, Fimie Don, Kahoe Hon, Nia Atasha, Ezra Kairo, Fauzi Nawawi, Lisdawati, Arash Mohamad, Anne Abdullah, Luis Amante Penero, Jihaa Sham, Zic Empty Page , Erakad , Gbril dan ramai lagi, Soloz: Game Of LIfe mengisahkan perjalanan hidup seorang pemain profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang menghadapi pelbagai cabaran untuk berjaya dalam arena e-sukan. 

Soloz: Game of Life mendedahkan persaingan hebat antara The Boss dengan pasukan dari Singapura, Vengeance. Soloz bersama rakan sepasukannya harus lebih banyak belajar dan bekerja keras untuk memenangi permainan utama, namun berlaku pelbagai konflik yang mendebarkan antara pasukan Soloz yang diketuai Hun Haqeem dengan Vengeance yang dikuasai oleh pelakon lelaki Ikmal Amry.

Soloz: Game of Life di pawagam tanah air sejak 23 Januari 2025 merupakan karya wajib tonton bagi penggemar sinema tempatan. 

4/5 Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan