Penyanyi Liza Aziz menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai Juara Gegar Vaganza Musim 11 (GV11) yang diadakan malam tadi.
Liza yang merupakan anak kepada seniman dan seniwati legenda, Aziz Jaafar dan Normadiah ini memukau penonton dengan tiga buah lagu secara solo, duet dan battle iaitu I Surrender (Celine Dion), lagu Cinta duet bersama Kris Dayanti dan gabungan bersama Ning, Zehra dan Sheila menerusi lagu Angkat (MimiFly) sekali gus membuktikan aura Liza sebagai penyanyi kelas pertama tidak boleh disangkal lagi.
Persembahan Liza mendapat standing ovation dari Juri Hetty Koes Endang malah kemunculan penyanyi terkenal dari seberang, Kris Dayanti bersama-sama mengalunkan lagu Cinta dengan Liza Aziz menjadikan GV11 malam tadi sebagai sebuah persembahan yang mencipta magis di dalam karier Liza sebagai seorang penyanyi.
"Saya suka persembahan kamu minggu ini berbanding yang lalu. Persembahan pertama sangat powerful apatah lagi duet sama Kris Dayanti menjadikan kamu perfect!," ujar Hetty Koes Endang
Kemenangan Liza malam tadi, melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM100,000.00 beserta trofi. Adik kepada penyanyi Azlina Aziz ini pernah merakamkan dua buah album studio pada tahun 1992 dan 1995 iaitu Liza dan Hati Ini, menjadikan beliau antara penyanyi pilihan golongan elit dan di raja sepanjang kariernya sebagai penghibur popular sejak tahun 1980-an hingga kini.
Dalam pada itu, Liza Aziz mencuri tumpuan ramai apabila berjaya memenangi Pemenang Ikon Super Lit Celcom Digi dengan memperolehi wang tunai RM5,000.
Dalam ucapan kemenangannya, Liza berkata sokongan dari kawan-kawan, peminat dan rakan industri adalah tulang belakang kejayaannya, malahan beliau antara bintang GV paling menyerlah selain Ning Baizura, Sheila Abdull, Dadali Dyrga, Zehra Zambri dan The Lima.
"Alhamdulillah. Akhirnya kini pasti, saya menang. Terima kasih kepada team dan keluarga saya. Kepada peminat saya terima kasih. Pada yang suka saya ataupun tidak, terima kasih juga. Tanpa anda, siapalah Liza Aziz di GV ini," katanya.
Manakala Ning Baizura pula muncul selaku Naib Juara, memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 beserta trofi. Penyanyi Sheila Abdull pula meraih tempat ketiga yang membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi.
Tempat keempat menjadi milik penyanyi Indonesia, Dadali Dyrga, Kelima Zehra Zambri dan tempat keenam disandang oleh kumpulan trio lelaki Indonesia, The Lima. Kesemua mereka masing-masing berjaya membawa pulang RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.
Kesemua bintang berjaya menyelesaikan tugasan secara solo, duet bersama penyanyi undangan dan battle antara mereka.
Kumpulan The Lima dipilih menjadi Bintang Cuckoo Paling Gempak mengikut undian peminat.
Pentas akhir Gegar Vaganza 11 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad ini menampilkan Dato' Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang sebagai juri tetap yang dipancarkan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam, Selangor.
Antara artis yang hadir ialah penyanyi legenda Mazuin Hamzah, Marsha Milan, pengarah Michael Ang dan ramai lagi.
0 Ulasan