TERIMA PENGIKTIRAFAN ASEAN RECORDS, ABANG ADIK LUAR BIASA


Filem Abang Adik mencipta sejarah sebagai filem berbahasa Cina pertama menerima pengiktirafan ASEAN Records berikutan kejayaan meraih pelbagai anugerah antarabangsa, pencalonan festival dan tayangan global terbanyak. 

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata filem arahan dan tulisan Jin Ong itu telah menarik perhatian pada festival filem antarabangsa sejak 2023 dengan membawa pulang 28 anugerah antarabangsa dan menerima 69 pencalonan dalam pelbagai festival filem di seluruh dunia.


"Sejak Disember 2023, Abang Adik telah ditayangkan di Malaysia, Taiwan, Hong Kong, Macau, Singapura, Itali, Thailand dan China. Pada Januari 2025, pengarah Jin Ong dan pasukan kreatif filem ini membawa Abang Adik ke layar perak di Jepun dan kini mereka menerima satu lagi penghormatan luar biasa," menurut FINAS dalam kenyataan pada Isnin lepas. 

Filem ini turut meraih kutipan sebanyak RM5.7 juta di Malaysia, HKD 2.8 juta di Hong Kong, TWD100 juta di Taiwan dan RMB3 juta di China, membuktikan popularitinya yang meluas. 

Perjalanan filem ini di pentas antarabangsa bermula pada 2020 di Taipei Golden Horse Film Project Promotion apabila memenangi FPP Visionary Award dan MirrorFiction Story Award, sekali gus membuka laluan kepada penerbitannya.


Abang Adik memulakan perjalanan ke festival filem antarabangsa, mencipta impak di 37th Fribourg International Film Festival, meraih Ecumenical Jury Award dan Audience Award. Kejayaan seterusnya di 25th Far East Film Festival, dengan tiga kemenangan utama iaitu First Time Director, Golden Mulberry Award dan Black Dragon Award. 

Pada majlis penghargaan yang diadakannya pada Isnin, Jin Ong meluahkan kegembiraan atas pengiktirafan itu dan menganggap ia sebagai satu pencapaian penting untuk Abang Adik serta penghargaan besar buat seluruh pasukan, barisan pelakon, kru, pelabur dan produksi.

Penerbit filem Lee Sinje pula mengenang perjalanan filem itu yang menekankan keikhlasan dalam pembikinannya bagi menyuarakan kisah masyarakat terpinggir.




"Kami bermula dengan impian kecil, memberikan suara kepada mereka yang sering dipinggirkan dan menghasilkan filem Malaysia yang boleh menyentuh hati penonton di seluruh dunia. Kami tidak pernah menyangka perjalanan ini akan menyentuh begitu banyak hati di pelbagai negara," menurut kenyataan itu.

Sumber berita dipetik dari Bernama 

Catat Ulasan

0 Ulasan