Kumpulan rock ternama tanah air, Akim & The Majistret kembali dengan single terbaru mereka berjudul ‘Gasoline’, sebuah lagu blues rock yang rancak yang bakal menghangatkan ruang udara semua radio.
Menariknya, lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Akim & The Majistret ini juga adalah sebahagian daripada album terbaru mereka yang sedang dalam proses pembikinan.
Vokalis utama kumpulan ini, Akim Ahmad berkata, proses penghasilan lagu ini sudah bermula sejak sekian lama, di mana melodi telah tersedia lebih awal, tetapi liriknya hanya disiapkan kemudian sebelum lagu ini dirakam dan dilancarkan.
Menurutnya, ‘Gasoline’ membawa mesej yang mendalam mengenai tenaga dan semangat untuk terus maju dalam kehidupan, seumpama bahan api yang memberikan tenaga kepada kenderaan untuk terus bergerak ke hadapan.
“Setiap hari kita memerlukan tenaga dan semangat untuk menghadapi sebarang cabaran, dan itulah simbolik ‘Gasoline’ yang menjadi pendorong dan inspirasi buat pendengar agar sentiasa bertenaga dan tidak berputus asa dalam mengharungi perjalanan hidup mereka,” katanya.
Dari segi proses rakaman, Akim menyatakan bahawa lagu ini mengekalkan identiti muzik ATM tetapi hadir dengan elemen yang lebih segar.
“Lagu ini mempunyai nuansa blues yang berbeza berbanding lagu-lagu Akim & The Majistret sebelum ini seperti ‘Saksama’. Malah, proses rakaman dilakukan secara teliti dengan pembabitan semua ahli kumpulan termasuk rakaman gitar yang dilakukan di studio peribadi gitaris kami,” katanya.
Lebih istimewa, ‘Gasoline’ juga menampilkan kolaborasi dalam penulisan lirik bersama penulis lirik berbakat, Bunga Cantik yang juga isteri kepada Akim iaitu Stacy sekali gus turut memainkan peranan penting dalam menyempurnakan lagu ini.
“Dari segi susunan muzik pula, setiap ahli kumpulan memainkan peranan masing-masing, menjadikan lagu ini satu karya yang mantap dari segi melodi dan susunan muzik,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan tajuk, Akim berkata bahawa ‘Gasoline’ dipilih kerana ia terkandung dalam lirik lagu serta membawa maksud yang lebih luas, bukan hanya sekadar bahan api untuk kenderaan tetapi juga sebagai sumber tenaga dan semangat untuk manusia dalam menghadapi kehidupan.
“Mengenai impak dan harapan terhadap lagu ini, Akim & The Majistret berharap ‘Gasoline’ akan mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat muzik tempatan serta memberi inspirasi kepada pendengar untuk terus bersemangat dalam menjalani kehidupan mereka.
“Akim & The Majistret tidak meletakkan sebarang sasaran atau pencapaian tertentu bagi lagu ini tapi kami berharap lagu ini dapat dinikmati oleh semua,” katanya.
Sempena dengan pelancaran ‘Gasoline’, Akim & The Majistret menganjurkan peraduan untuk memenangi baucar ‘Gasoline’ bernilai RM50 untuk mengisi kenderaan peminat yang pulang ke kampung sempena Hari Raya. Peserta cuma perlu merakam video mereka ‘lip sync’ kepada lagu ‘Gasoline’ dan memuat naiknya ke media sosial mereka dengan menyertakan #ATMnakbagigasoline dalam posting mereka. 100 pemandu terawal yang menunjukkan rakaman video tersebut kepada pekerja Nova Music di stesen Petronas Solaris Sg Besi pada hari Jumaat 28 Mac 2025 jam 3 petang akan memenangi hadiah tersebut.
Dengan pelancaran ‘Gasoline’, Akim & The Majistret terus membuktikan keunikan mereka dalam industri muzik tempatan dan bersedia untuk membawa karya-karya yang lebih hebat dalam album mereka yang akan datang.
‘Gasoline’, single terbaru Akim & The Majistret terbitan Nova Music boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik mulai 30 Mac 2025. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari yang sama jam 10 malam.
0 Ulasan