BLOOD BROTHERS BAKAL CETUS FENOMENA?


Sebut sahaja nama Syafiq Yusof, pastinya ada di antara anda tidak akan menolak untuk menonton filem-filem arahannya. Bermula kerjaya seawal usia 16 tahun, anak kepada jutawan dunia perfileman, Datuk Dr. Yusof Haslam ini antara pengarah filem termuda yang seringkali muncul dengan pelbagai karya filem di luar kotak dan sentuhannya mampu menandingi beberapa nama pengarah filem senior lain di dalam industri filem tanah air.

Bermula dengan filem pendek, kemudian pertama kali mengarah filem cereka pada tahun 2012, Saya Amat Mencintaimu (SAM), serta Abang Long Fadil, Villa Nabila, Mat Motor, Desolasi, KL Special Force, Polis Evo 3, Sheriff: Narko Integriti sehinggalah kepada filem Soloz: Game Of Life, Syafiq sekali lagi bakal memecah tradisi dunia perfileman tempatan menerusi karya terbaharu 2025, Blood Brothers.  


Diarahkan oleh Syafiq Yusof bersama Abhilash Chandra, Blood Brothers merupakan hasil nukilan Abhilash Chandra, Ghazwan Tomasi, Ayam Fared dan Ashraf Modee Zain, ini menampilkan barisan pelakon hebat yang bakal mencipta fenomena antaranya Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahya, Wan Hanafi Su, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Irfan Zaini, Andy Teh dan Amelia Henderson. 

Mengisahkan tentang Ariff (lakonan Syafiq Kyle), seorang pengawal peribadi yang setia ; dituduh mengkhianati saudara Naga yang telah membelanya. Dalam usaha membuktikan dirinya tidak bersalah, Ariff terpaksa mencari bantuan abang kandungnya yang telah lama terpisah, Jaki (lakonan Syazwan Zulkifly). Namun, perjalanan Ariff tidak mudah apabila dia menjadi buruan sahabat baiknya sendiri, Ghaz (lakonan Sharnaaz Ahmad) yang mengetuai pasukan pengawal peribadi elit yang suatu ketika dahulu dianggapnya sebagai Blood Brothers


Dengan aksi yang cukup mendebarkan, dibantu dengan sinematografi dan lakonan yang hebat, Blood Brothers bakal menemui penonton tempatan bermula 10 April depan. Filem terbitan Skop Production ini mengangkat tema kepercayaan, pengorbanan dan harga sebuah persaudaraan dalam dunia penuh tipu daya. 

Sebagai meraikan ketibaan filem ini, treler rasmi Blood Brothers boleh ditonton di sini.

Catat Ulasan

0 Ulasan