Siapa menyangka dalam penganjuran sesebuah konsert akan ada pencabulannya. Isu cetak rompak dalam dunia serba moden yang memberi penekanan kepada 'penyiaran secara langsung' tanpa izin sememangnya melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia. Bahkan rakaman yang disiarkan itu juga ada hubung kait dengan Akta Hak Cipta yang menjadi barah di dalam industri hiburan khususnya dunia muzik.
Bagi pemilik dan pengasas Rumah Produksi Merah, Dato' Eddy Amir Salim berharap pihak kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperketatkan dengan menggubal akta sedia ada agar industri kandungan kreatif khususnya muzik dapat dipertingkatkan, serta melindungi sesebuah karya seni.
Kebimbangan Eddy turut disuarakan penyanyi Dato' Awie terhadap segelintir individu yang merakam persembahan konsert secara haram dan memuatkannya di laman sosial dengan menjadikan ia sebagai kandungan premium berbayar.
Dato' Eddy (kanan) dan Dato' Awie (kiri) menggesa pihak berwajib menggubal Akta Hak Cipta dan Akta Komunikasi, ekoran peningkatan kes rakaman haram membabitkan penganjuran beberapa konsert tempatan.
"Ini adalah satu bentuk pencabulan hak cipta yang serius dan perlu ditangani segera. Kami sedang mempertimbangkan tindakan perundangan untuk melindungi hak serta kepentingan industri muzik tempatan.
"Pihak kerajaan perlu memandang serius perkara ini kerana ia berhubung kait dengan beberapa akta sedia ada. Bukan bertujuan mewujudkan provokasi tanpa sebab, tetapi apa yang kami lakukan adalah untuk menjaga privasi sesebuah karya seni kerana merakam dan memuat naik tanpa kebenaran adalah melanggar undang-undang," katanya
Eddy yang ditemui semasa Majlis Berbuka Puasa Rumah Produksi Merah di Petaling Jaya pada malam Khamis berkata, sebagai pemain industri beliau kesal dengan apa yang berlaku memandangkan sesebuah konsert yang dilakukan itu memerlukan sejumlah kos yang besar dan pihaknya kini dalam usaha untuk mengesan beberapa akaun yang terlibat dalam penyiaran rakaman konsert tersebut agar tindakan selanjutnya dapat diambil.
"Pihak kami sudah mengenal pasti beberapa akaun yang terlibat. Ada diantara mereka mengenakan caj langganan bermula dari RM17 sehinggalah RM70 sebulan. Ini adalah melanggar etika penyiaran dan undang-undang Hak Cipta yang ada.
"Setakat ini kami tidak mahu mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pemilik akaun. Tetapi, saya akan beri peringatan dahulu. Jika tidak berjaya juga, saya akan teruskan dengan tindakan tegas," katanya.
Sementara itu, penyanyi Dato' Awie berkata, pihaknya dalam usaha untuk membawa isu ini ke pihak bertanggung jawab, namun berharap akan ada jalan penyelesaiannya.
"Saya tahu isu ini bukan satu benda yang baharu. Tapi ia sudah lama berlaku. Dalam zaman serba moden ini memang susah untuk kita pantau keseluruhannya, namun sebagai pemain industri yang bekerja di dalam bidang ini. Kami sangat terkesan dengan apa yang terjadi.
"Saya berharap perkara ini tidak berlarutan. Sebagai pengguna media sosial dan semua peminat muzik, perlu ada rasa bertanggung jawab kerana perkara ini bukan mainan. Ia adalah serius dan boleh memusnahkan kerjaya kami sebagai anak seni," katanya.
Dato' Awie juga berkata, beliau bersama Kumpulan Wings ada beberapa perancangan yang akan dilakukan. Diantaranya adalah mengadakan Konsert di Penjara, Konsert Tribute Khas dan membawa muzik mereka ke Kota London pada Oktober dan November 2025 bagi Wings Fest 40 Tahun.
Beberapa projek lain seperti Drama Bersiri RTM yang kini selesai proses penggambaran 20 episod akan diumumkan kelak. Namun Awie menambah, sebagai kumpulan muzik legenda yang berakar hampir 4 dekad, Wings bakal muncul dalam sebuah dokumentari khas yang menceritakan tentang perjalanan hampir 40 Tahun Wings dalam industri hiburan tanah air.
Namun pada itu, Dato' Eddy dan Dato' Awie menegaskan pihaknya juga akan memastikan semua produk tiruan seperti merchandise atas nama Wings akan dipantau dan tindakan susulan akan diambil bagi memastikan perkara ini tidak menjadi barah walaupun hakikatnya amat pahit untuk ditelan.
0 Ulasan