HIMPUNKAN SELEKSI LAGU MELAYU TERBAIK, 100 LAGU SERATUS TAHUN

Jika anda peminat lagu-lagu malar segar era Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Saloma, Azlina Aziz, Dato' M.Nasir, Allahyarhamah Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini dan seangkatan dengannya, anda mungkin bersetuju dengan pendapat saya mengatakan Projek 100 lagu 100 Tahun sebagai suatu yang relevan.

Diilhamkan dari cetusan idea Prof. Emeritus Dato' Seri Dr Mohamad Mustafa bin Ishak, Pengerusi Eksekutif, World Business Affairs Sdn Bhd, Projek 100 Lagu 100 Tahun adalah satu penerbitan baharu bagi melahirkan semula warisan muzik Melayu dengan menghimpunkan 100 lagu ikonik yang telah mewarnai industri muzik tanah air.

Projek yang merakamkan kembali lagu-lagu lama yang diberikan nafas baharu serta pernah memberi dampak yang mengesankan dalam satu abad, kini dipersembahkan kembali untuk tatapan generasi muda hari ini.

Keunggulan muzik dan lagu-lagu yang ditampilkan kembali dalam versi kontemporari oleh artis-artis popular tanahair tanpa mengubah keaslian lagu-lagu ini, menjadikan Projek 100 Lagu 100 Tahun amat bernilai dalam lanskap industri muzik kerana ia memperlihatkan evolusi dan kehebatan  muzik dan lagu-lagu terdahulu yang telah mencipta fenomena luar biasa. 

Projek yang diterbitkan secara audio, visual dan bercetak, iaitu pembikinan buku meja kopi atau coffee table book, memperlihatkan betapa indah dan berharganya khazanah muzik tempatan sekali gus mengimbau kembali sejarah, latar belakang penciptaan menerusi karya yang terpilih.

Dihasilkan dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK), Projek 100 Lagu 100 Tahun dibahagikan kepada 4 jilid dengan 25 lagu bagi jilid pertama.

'Nuri Terbang Malam' yang dinyanyikan oleh Maestro muzik nusantara, Dato' M Nasir menjadi single pertama komposer dan penggubah lagu legenda tersebut yang diluncurkan pada awal Januari 2025. 

Lagu yang pernah dirakamkan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang ini dipercayai menjadi lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan dalam bentuk piring hitam oleh label dari United Kingdom (UK), iaitu Gramophone Company pada tahun 1903. 

Lagu itu dirakamkan di Singapura dan menggabungkan elemen muzik tradisional antara India dengan muzik dari Asia Barat. Penerbitan ini mencerminkan pelbagai budaya yang wujud di rantau pada zaman itu.

Projek 100 Lagu 100 Tahun ini antara projek yang boleh dijadikan koleksi khazanah seni yang cukup bernilai dan diharapkan menjadi projek tahunan yang cukup bersejarah di dalam industri muzik nusantara.

Ketika bercakap kepada media, Prof Emeritus Dato Seri Dr Mohamad Mustafa Bin Ishak, Pengerusi Eksekutif, World Business Affairs Sdn Bhd berkata, penerbitan 100 Lagu 100 Tahun ini dihasilkan dengan matlamat untuk menyimpan koleksi lagu Melayu yang pernah popular dan penghasilannya mampu membuka mata masyarakat bahawa kita mempunyai banyak lagu yang cukup hebat suatu ketika dahulu.

"Idea pembikinan projek ini sebenarnya sudah lama dirancang sebelum negara dilanda Pandemik COVID-19, iaitu sejak 2016 dan 2017 iaitu ketika saya bertugas sebagai naib canselor di Universiti Utara Malaysia (UUM). 

"Agak sukar untuk kita menentukan lagu mana yang ingin kita masukkan di dalam projek ini kerana kita banyak lagu-lagu Melayu yang terbaik khazanahnya. Jadi, kita benar-benar memilih yang kita rasa wajar kita angkat sebagai seleksi lagu di dalam projek ini.

"Jadi, kita memilih yang terbaik dan semestinya bukan lagu yang pernah memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Juara Lagu dan sebagainya," katanya.

Ketika ditanya mengenai bajet yang diperuntukkan, Pengarah Produksi Luncai Emas, En Keon Omar berkata, pelaksanaan projek ini memerlukan dana yang tinggi dan pembikinannya terlalu lama dan ia melibatkan ramai pemain industri dalam projek ini. 

"Kita (Luncai Emas) memerlukan sejumlah dana yang banyak kerana pelbagai pihak perlu kita bayar. Ini melibatkan penyanyi, hak cipta lagu yang dirakamkan semula. Bukan boleh sewenang-wenangnya untuk kita amik dan gunakan lagu-lagu ini tanpa kebenaran.

“Luncai Emas bersetuju menjadi rakan kerjasama bagi pengedaran audio dan visual ke pelantar-pelantar digital untuk projek ini kerana merasakan projek ini adalah suatu usaha murni. Ia sebenarnya seiring dengan hala tuju Luncai Emas yang ingin mengangkat dan mengiktirafkan karya hebat dengan memperdengarkan kembali kepada generasi muda tetapi mengikut citarasa semasa. Usaha ini juga dapat memberi pendapatan berterusan kepada komposer-komposer yang terlibat," katanya.

Antara lagu-lagu dalam jilid pertama ini ialah lagu tradisional seperti Ulek Mayang dan Nuri Terbang Malam serta juga lagu Wajahmu Di Mana-Mana (penyanyi asal Azlina Aziz) dan Kenangan Lalu (Penyanyi asal Flybaits) dan Madah Berhelah (penyanyi asal Ziana Zain. Tidak ketinggalan, Getaran Jiwa (penyanyi asal P.Ramlee) dan Penantian (penyanyi asal Kump Harmoni) 

Menariknya, lagu Penantian (penyanyi asal Kumpulan Harmoni) dinyanyikan semula oleh Lah Ahmad, menjadi single kedua yang telah pun diluncurkan sejak 28 Februari 2025 yang lalu. Lagu ciptaan sepenuhnya Allahyarham Zubir Ali yang diterbitkan pada tahun 1981 ini begitu popular kerana elemen nostalgia muzik puisi yang terdapat di dalam lirik lagu tersebut. 

23 Penggubahan semula lagu lagu dan rakaman dalam vol 1 adalah di bawah terbitan komposer dan pensyarah UUM, Dr Azmeer, sementara 2 lagu termasuk Nuri Terbang Malam diterbitkan oleh Dato' M.Nasir.

Sebagai ketua projek, Dr Azmeer turut berkata buku yang bakal diterbitkan diharap dapat melestarikan lagu-lagu itu melalui informasi dan ilmu daripada artikel perihal asal-usul lagu ini. Beliau juga berharap juga buku ini dapat diterima baik dan mampu memberi ilmu dan manfaat serta menarik minat generasi muda mengenali lagu-lagu lama yang dapat menyatukan dua generasi lama dan baharu melalui keindahan muzik yang abadi. 

Catat Ulasan

0 Ulasan