'HULURKAN' GABUNG 7 ARTIS NASYID

Sempena kehadiran bulan Ramadan yang penuh barakah, Daqmie Music Factory dengan kerjasama Perkim Datuk Keramat telah berkolaborasi untuk menghasilkan sebuah projek single nasyid berjudul Hulurkan

Projek lagu Hulurkan adalah sebuah inisiatif bersama Daqmie Music Factory dan Perkim Datuk Keramat untuk terus menyampaikan dakwah serta mengumpul dana bagi tujuan pelbagai program kebajikan serta pendidikan sepanjang tahun ini. Menariknya lagi, single Hulurkan ini juga dinyanyikan dan dijayakan gabungan tujuh penasyid terkenal iaitu Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran, Cahaya Hati serta Daqmie sendiri. 

Pengasas Daqmie Music Factory, Daqmie berkata, inspirasi Hulurkan tercetus daripada lagu We Are The World iaitu sebuah projek lagu amal yang menggabungkan ramai artis terkemuka Amerika Syarikat pada 1985 untuk mengumpul dana bagi mengatasi kebuluran terburuk di Ethiopia dari tahun 1983 hingga 1985.

“Sepertimana We Are The WorldHulurkan juga adalah sebuah lagu yang membawa mesej kemanusiaan penuh harmoni dan kasih sayang yang mengajak kita semua untuk sama-sama beramal dengan menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan terutama sepanjang mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Bantuan yang dihulurkan itu juga boleh dilakukan secara nampak atau tidak nampak, dalam bermacam bentuk sama ada kewangan, barangan, masa, tenaga, harta serta doa yang tidak putus putus,” katanya. 

Menurut Daqmie lagi, projek lagu Hulurkan ini dicetuskan selepas dia dilantik sebagai duta Perkim Datuk Keramat selama dua tahun.

“Tapi, saya rasa projek ini akan menjadi lebih signifikan andai lebih ramai penyanyi atau kumpulan nasyid yang terlibat kerana mereka juga boleh menjayakan aktiviti-aktiviti yang sudah dirancang Perkim Datuk Keramat. 

“Sebetulnya, saya telah mengajak ramai penyanyi dan kumpulan nasyid di Malaysia untuk terlibat di dalam projek ini tetapi yang berminat dan memberikan respon adalah Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran serta Cahaya Hati,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkim Datuk Keramat, Suhaimi Abdul Aziz pula berkata, pendekatan kesenian, khususnya nasyid, dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk bersama menyokong usaha dakwah yang berterusan.

"Kami percaya bahawa muzik adalah medium yang dekat di hati masyarakat. Melalui single ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai untuk bersama menyumbang kepada usaha dakwah dan kebajikan yang kami laksanakan," ujar beliau. 

Pelancaran Hulurkan bertujuan untuk mengumpul dana bagi menyokong enam inisiatif utama Perkim Datuk Keramat: 

  • Menampung kos operasi Rumah Mualaf PERKIM Datuk Keramat. Empat buah rumah yang menempatkan seramai 40 penghuni. 
  •  Aktiviti dakwah berterusan. Kelas pengajian, kebajikan, pendidikan dan pelbagai program untuk saudara baru serta masyarakat Non-Muslim. 
  • Dana pembelian kenderaan van. Keperluan sebuah van berkapasiti 18 tempat duduk bagi kegunaan pengangkutan mualaf. 
  • Pembangunan Kompleks Dakwah Mualaf Mahmood di Puncak Alam. Projek dengan anggaran kos sebanyak RM 3.5 juta yang akan digunakan untuk pendidikan, penginapan, dan bimbingan saudara baru. 
  • Pembangunan semula Sekolah Al Ummah. Berkolaborasi dalam membangunkan sekolah sedia ada dengan anggaran kos RM 3.5 juta. 
  • Pengurusan Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Al Muqaddasah. Menaja 15 orang pelajar asnaf dan anak-anak mualaf untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.
Dengan pelancaran Hulurkan, Perkim Datuk Keramat berharap lebih ramai pihak akan tampil untuk menyokong usaha ini, sama ada melalui sumbangan atau penyertaan dalam program program yang dianjurkan. 


Projek lagu Hulurkan yang mendapat sokongan daripada Yeop’s Kitchen ini juga dirakamkan di studio Smart Audio dengan bantuan komposer dan jurutera bunyi, Alfa Booty. Lagu edaran Arteffects Production milik Hafiz Hamidun dengan kerjasama Sony Music Malaysia ini sudah pun berada di semua platform digital sejak 28 Februari lalu. 

Untuk maklumat lanjut dan sumbangan, orang ramai boleh menghubungi Perkim Datuk Keramat di talian 019-6039187 (Suhaimi), 018-2573069 (Hakim) atau terus membuat sumbangan ke Akaun CIMB Bank: 8600320562

Catat Ulasan

0 Ulasan