Walaupun pernah mencetuskan kontroversi menerusi beberapa buah karya filem dan drama sentuhannya, bagi pelakon, pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima; ini bukan penghalang untuk dirinya dalam menyampaikan dakwah menerusi karya terbitannya.
Bagi Erma, dalam berkarya kena ada pro dan kontranya. Setiap yang dipaparkan perlu menggambarkan sesuatu atau sebilangan agar jalan cerita yang disampaikan lebih 'real dan logik', tanpa berselindung di sebalik realitinya sebuah kehidupan.
“Saya dah pernah buat cerita poligami, penyondol, dan cinta. Dah letih, dah klise, dah bosan, dah muak. Dah mual dengan isu yang sama.
"Apabila menulis skrip, saya mempunyai matlamat yang sama. Siapa pelakunya, apa kisah dan jalan ceritanya. Bagaimana ia berhubung kait antara satu sama lain. Itu yang saya utarakan untuk menyampaikan sesuatu.
"Bagaimana nak mendidik masyarakat dengan masalah besar di luar sana?. Kes rogol sana sini, itu belum lagi kisah guru tahfiz atau ulama yang mulia dan suci jadi jahat,", katanya.
Erma Fatima tanpa berselindung memaklumkan. beliau menghasilkan genre drama yang lebih kepada cerita luar dan dalam yang berlaku dalam komuniti agama itu bukan berniat untuk mempersendakan agama, begitu juga beliau menghasilkan cerita Keluarga Itu, kisah dalam sebuah keluarga yang bukan hanya mengisahkan pertelingkahan, tetapi menyelami luka yang tersembunyi di sebalik senyuman, membuatkan anda mempersoalkan realiti yang tenat. Adakah darah lebih pekat daripada air?. Adakah kejujuran lebih menyakitkan daripada dusta?
Keluarga Itu ibarat rumah yang dari luar tampak kukuh, tetapi di dalamnya ada dinding-dinding yang retak menanti masa untuk runtuh. Di sebalik senyuman yang dipamerkan, keluarga Iman (Datuk Rosyam Nor) dan Chempaka (Datin Seri Umie Aida) bergelut dengan kenyataan hidup yang jauh dari kesempurnaan. Iman, seorang tokoh Tahfiz yang dihormati, perlu membimbing empat anaknya iaitu Ansara (Fattah Amin), Anwari (Muaz Zabir), Dhamiah (Puteri Balqis), dan Dhini (Duerra Mitilda) yang membawa keresahan dan cabaran masing-masing.
Di sebalik ikatan darah, setiap seorang memikul cerita dan perjuangan tersendiri. Ansara, anak sulung dan usahawan berjaya, menyedari bahawa kejayaan tidak mampu menyelamatkan rumah tangganya apabila Camelia (Melissa Campbell), isterinya yang mualaf, berpaling darinya. Anwari pula sebagai anak kedua, dikuasai dengki hingga menjauh dari keluarga, buta terhadap kesetiaan isterinya, Husna (Izara Aishah) yang tetap bertahan meskipun diabaikan.
Dhamiah, yang melarikan diri demi kebebasan, akhirnya terperangkap dalam dunia yang lebih kejam diapit dengan trauma silamnya. Sementara itu, Dhini, si bongsu yang menghidap autisme dan tidak mengerti pergolakan keluarganya, hanya mampu bergantung pada Husna dan Dhamiah yang sentiasa setia di sisinya.
Di tengah badai rahsia dan ujian yang melanda, mampukah mereka kembali bersatu, atau segalanya sudah terlalu hancur untuk diperbaiki dalam Keluarga Itu?
Seiring dengan tajuknya, Keluarga Itu bukan sekadar paparan kehidupan, tetapi cerminan sebuah realiti yang semakin berakar dan perlu diambil pengajaran.
"Saya tidak mahu sekadar bercerita, tetapi membuka mata dan menyentak jiwa mereka yang menonton. Memang niat utama saya menghasilkan Keluarga Itu untuk memberi pengajaran bersama serta mempersiapkan diri menghadapi situasi sebegini.
Saya percaya, anda tahu, anda baca, anda dengar tentangnya, tetapi sejauh mana anda benar-benar peduli? Kita melihat, tetapi kita memilih untuk menutup mata. Kita tahu, tetapi kita selesa dalam penafian. Hakikatnya, isu ini bukan sekadar kisah dalam skrip, ia nyata dan ia semakin parah.
Penonton hari ini semakin bijak memilih karya, jadi saya perlu keluar dari zon selasa. Saya mahu mencabar diri, menjadi trendsetter, bukan follower. Saya tahu risiko yang saya ambil dan saya sudah bersedia andai Keluarga Itu dikecam atau mencetuskan kontroversi. Tidak mengapa, kerana saya tahu kisah ini perlu diceritakan," kata Erma Fatima dengan sedikit nada tegas.
Dihidupkan oleh pelakon-pelakon berbakat besar, Keluarga Itu menggabungkan kehebatan Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Melissa Campbell, dan kemunculan semula Izara Aishah yang dinantikan ramai. Keserasian mereka membentuk nadi penceritaan yang bukan sahaja realistik, tetapi mampu mengundang emosi yang mendalam dalam setiap babak yang mengharukan.
Manakala bagi pelakon dan penerbit drama terkenal yang juga bintang utama Keluarga Itu, Datuk Rosyam Nor pula berharap penonton dan masyarakat mengambil iktibar dari jalan cerita dalam drama rersebut.
"Saya tidak melihat ianya sebagai sebuah karya yang biasa. Tetapi perjalanannya membuka mata kita terhadap apa yang berlaku dan kini barah dalam masyarakat.
"Walaupun agak pedih untuk diterima, tetapi sebagai pelakon lama saya melihat ianya dari sudut yang tersirat dan sebagai penonton, boleh berfikir yang mana baik dan buruk untuk diterima.
"Hiburan jyga merupakan platform untuk berdakwah. Buat apa kita nak sorokkan benda yang salah?," katanya.
Keluarga Itu yang bersiaran sejak 28 Februari lalu, setiap Jumaat hingga Ahad antara drama rantaian yang menerima kecaman penonton dan menjadi naskhah popular yang ditayangkan di TV3 sepanjang Ramadan ini.
0 Ulasan