Setiap kali menjelangnya Aidilfitri, bulan Ramadan pastinya menjadi pilihan beberapa selebriti dan penyanyi sama ada lama atau baharu, untuk mengeluarkan lagu raya.
Kemunculan pelbagai jenis lagu hari raya pada hari ini menyaksikan industri muzik tempatan makin rancak bahkan senarai lagu yang dihasilkan, ada di antaranya bakal menjadi 'malar segar' dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Bagi Pelakon, Penyanyi dan Usahawan Terkemuka, Nur Fazura Sharifuddin, 41, atau Fazura menganggap 'Raya Pum Pang' sebagai lagu raya penuh makna buat dirinya.
Lagu ciptaan Mage, Ja’a, Glowrush dan Nick Ariff ini juga menampilkan Syasya Rizal sebagai rakan kolaborasi dari segi vokal dan lagu ini sudah pun berada di semua platform digital sejak 7 Mac lalu.
Dengan gabungan melodi yang rancak dan mesej penuh makna mengenai kebersamaan dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, 'Raya Pum Pang' adalah hasil kerjasama antara Universal Music Malaysia, Faithful Music dan Fazura Studios.
Ketika ditemui media di Majlis Berbuka Puasa Pum Pang yang diadakan di Sunway Way Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini, Fazura berkata, merakam lagu ‘Raya Pum Pang’ bersama Syasya adalah sesuatu yang istimewa.
“Saya sangat teruja dan bersyukur diberikan peluang untuk bekerjasama buat pertama kali dengan beberapa individu berbakat dalam single raya ini. Ini adalah pengalaman baru buat saya dengan persekitaran kerja yang berbeza.
“Bekerjasama dengan Syasya untuk lagu ini juga adalah pengalaman menarik kerana ini kali pertama saya berduet dengan artis wanita dan lebih istimewa lagi kerana ia adalah buah tangan khas untuk Aidilfitri,” katanya.
Fazura berkata, dia berharap peminat dapat menikmati lagu dan video muzik ‘Raya Pum Pang’ selain menjadikan ia sebagai sebahagian daripada kemeriahan perayaan mereka.
“Saya harap semua akan terhibur mendengar lagu ini dan menonton video muziknya. Saya juga berharap semua dapat menikmati sambutan raya dengan mencipta momen indah bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Tidak kira sama ada perayaan itu kecil atau besar, yang paling penting ialah menghargai detik- detik bersama insan tersayang,” tambah Fazura.
Dalam perkembangan lain, Fazura menjangkakan tahun ini adalah tahun yang sibuk dengan pelbagai komitmen dalam bidang perniagaan, lakonan dan muzik. Bagi Pelakon Harapan Wanita di FFM17, 2004 menerusi filem Bicara Hati dan Pelakon Wanita Terbaik di FFM27, 2015 untuk filem Manisnya Cinta di Cappadocia , Fazura berkata, tahun ini adalah bermakna buat dirinya.
“Tahun ini akan menjadi tahun yang sibuk kerana saya banyak memberi fokus kepada kerjaya dalam perniagaan, lakonan dan juga muzik bersama pasukan saya yang sangat menyokong dan berkongsi visi serta nilai yang sama untuk terus maju ke hadapan,” katanya,
Sementara itu, Syasya yang juga bekas anggota Dolla berkata, lagu ‘Raya Pum Pang’ adalah satu tanda penghargaan buat peminat yang sudah lama merindui suaranya.
“Raya Pum Pang’ untuk saya adalah hadiah kecil buat peminat yang lama rindu nak dengar suara saya. Ia lagu yang menyeronokkan dan ‘catchy’, pada masa yang sama ada mesej yang ingin disampaikan untuk kita ingat sewaktu beraya.
“Kali pertama saya dengar lagu ini, saya terus jatuh cinta dengannya. Dari demo ke versi akhir, proses rakaman sangat menarik dengan bimbingan dari ‘coach’ vokal dan juga pasukan produksi,” katanya.
Bagi Syasya, penggambaran video muzik ‘Raya Pum Pang’ memberi pengalaman yang berbeza kerana buat pertama kali, dia perlu mengawasi bayinya iaitu Yassir yang turut berada di set.
“Pengalaman menjalani penggambaran video muzik lagu ini memang sangat berbeza. Sebelum ini saya fokus untuk nampak cantik depan kamera seorang diri, tapi sekarang ada si kecil yang perlu saya pantau juga.
"Yassir sangat ‘friendly’ dan suka mendengar bunyi bising, jadi dia sangat ‘enjoy’ sepanjang sesi penggambaran. Satu pengalaman yang sangat berharga buat saya dan juga Yassir sendiri,” katanya.
Berkongsi mengenai kerjasama dengan Fazura, Syasya menyifatkan Fazura seorang yang penyayang dan kelakar.
“Saya suka Kak Faz. Dia sangat penyayang dan dalam masa yang sama sangat kelakar. Walaupun penggambaran dah selesai, kami masih saling berhubung. Pada awalnya, saya risau kalau kami tidak serasi, tetapi ternyata ‘vibes’ kami memang kena sangat. Dia macam seorang kakak yang sangat kelakar dan penyayang,” katanya.
‘Raya Pum Pang’ kini boleh didengarkan di semua platform digital utama, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube. Video muzik lagu ini sudah mencecah lebih 900,000 tontonan sejak ia mula dimuat naik pada 7 Mac lalu.
0 Ulasan