'RAYA NAK KE MANA?' DILANCARKAN

Setiap kali penyanyi ini mengumumkan buah tangan terbaharunya, pasti ia mendapat sambutan menggalakkan. Walaupun sudah beberapa tahun tidak mengeluarkan sebarang single raya, Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza menganggap tahun ini cukup bermakna kerana lagu yang dihasilkan ini dari seseorang yang sangat luar biasa impaknya.

Menyanyikan lagu dari ciptaan komposer baharu atau lama bukan penghalang untuk Siti Nurhaliza memberi kepercayaan sepenuhnya. 'Raya Nak Ke Mana', ciptaan Aisha Retno, Radi dan Amylea Azizan menjadi petanda aras kepada kemunculan pelbagai lagu raya versi moden dengan sentuhan etnik klasik yang memikat.

Pertama kali mendengar lagu ni ke udara sebelum ia dilancarkan, penulis menganggap sentuhan Aisha Retno dan Radi bersama Amylea Azizan ini bakal mencipta magis dan fenomena tersendiri. 

Bagi Voice of Asia dan Pemilik suara 'Raya Nak Ke Mana', Dato' Sri Siti Nurhaliza menganggap karya terbaharu dua anak muda ini mampu mengembalikan nostalgia sepertimana lagu-lagu raya yang pernah dinyanyikan beliau dalam masa dua dekad. 

"Sekali dengar, lagu ini terus memikat hati apatah lagi lagu berunsurkan irama tradisional sentiasa melekat di hati saya. Saya sangat berharap agar lagu ini akan diterima pendengar dan peminat seperti koleksi lagu raya lain yang pernah saya nyanyikan.

"Lagu raya cukup sinonim dalam kerjaya saya dan tahun ini saya berasa bertuah kerana dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang mempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar,'' katanya.

Siti Nurhaliza mengakui lagu ciptaan anak muda dua beradik, Aisha Retno dan Radi ini mempunyai keunikan dan sedap didengar apatah lagi ia berentak zapin yang mampu memikat pendengar pelbagai latar belakang.

Sebagai artis berpengalaman, Siti gembira kerana dapat bekerjasama dengan komposer muda kerana yakin setiap pengkarya mempunyai kelebihan mereka tersendiri.

Aisha yang merupakan anak kepada penyanyi legenda Indonesia, Jean Retno Aryani yang pernah popular sekitar zaman 1980-an bersama Hetty Koes Endang berkata, beliau teruja apabila demo lagu yang diberikan kepada Siti diterima baik dan Penyanyi No 1 Negara itu bersetuju merakamkannya.

Dalam hantaran di laman sosial Instagramnya, Aisha berkata beliau sangat gembira apabila dapat mencipta sesuatu yang bermakna buat penyanyi kesayangan jutaan rakyat Malaysia itu. 

"Terima Kasih Tokti, kerana sudi menerima lagu kecil dari Aisha. Raya kalian akan jadi lebih indah kalau dengar lagu Tokti yang sungguh memukau ini.!

"Nyanyi, nyanyi, nyanyi lagu ini, Okay?!. Saya berhenti membebel sekarang. Tapi mimpi memang boleh jadi kenyataan, kan?!," tulisnya. 

'Raya Nak Ke Mana?'  merupakan lagu terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd.  Lagu ini telah dilancarkan di Pavillion Kuala Lumpur semalam sempena Pameran Budaya Raya yang berlangsung bermula 3 Mac sehingga 6 April 2025. 

Catat Ulasan

0 Ulasan