Setelah hampir lima dekad tidak mengeluarkan sebarang lagu raya, akhirnya pada tahun ini, penyanyi legenda, Datuk DJ Dave tampil dengan Meriah Syawal.
Lagu ciptaan DJ Dave sepenuhnya ini adalah hasil gubahan komposer terkemuka, Alfa Booty di mana ia mengambil masa enam hari untuk disiapkan. Bermula dari proses menulis lirik, susunan melodi, proses rakaman sehinggalah kepada pembikinan video klip, Meriah Syawal adalah hadiah istimewa DJ Dave buat seluruh peminat muzik tanah air.
Menurut DJ Dave atau nama sebenarnya, Irwan Shah Abdullah, 79, berkata, beliau menghasilkan lagu raya pada masa kini bukan bertujuan untuk bersaing tetapi mahukan setiap generasi merasakan muzik adalah penghubung antara satu sama lain.
"Saya mahukan sesuatu yang istimewa sekali gus membangkitkan nostalgia antara kita. Meriah Syawal membawakan kehangatan, kegembiraan, kenangan dan rasa kebersamaan menjadikan Aidilfitri penuh makna.
"Pelancaran rasmi lagu ini diadakan di laman YouTube rasmi saya. Saya berharap anda menyukai lagu ini," kata DJ Dave memetik laporan yang dikeluarkan Harian Metro hari ini.
0 Ulasan