Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB Bank) telah melancarkan kempen unik bertemakan 'Amalan' yang memberi penekanan kepada amalan baik, termasuk pengurusan kewangan bijak, sebagai sumber kesyukuran dan kegembiraan.
Sebagai sebahagian kempen ini, HLB telah memperkenalkan lagu dan video muzik Raya bertajuk 'Senyum-Senyum Raya', yang menampilkan duta HLB, Alif Satar. Lagu ciptaan Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy dan Ja’a, ini dinyanyikan oleh Alif Satar & The Locos, di mana penceritaan lagu ini,sarat dengan mesej kesyukuran dan kegembiraan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Lam, menyatakan komitmen HLB dalam menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan yang membantu pelanggan menguruskan kewangan secara bijak.
"Kami berhasrat memperluas penyelesaian kewangan yang diperibadikan kepada lebih ramai pelanggan, dan dalam aspek ini, Hong Leong Islamic Bank telah memainkan peranan penting dengan menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan yang patuh Syariah. Melalui rangkaian produk perbankan Islam yang direka untuk memenuhi keperluan unik pelanggan, kami ingin meringankan beban pelanggan dalam perjalanan kewangan mereka, secara langsung membantu mereka menguruskan kewangan dengan bertanggungjawab.
Dalam usaha memupuk celik kewangan dan amalan mulia, program duta kami telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang HLB, dan kami akan terus memperkukuhkan usaha ini pada masa hadapan," katanya.
Manakala Zalman Zainal, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB berkata, lagu dan video raya itu adalah sesuatu yang terbaharu daripada HLB buat seluruh rakyat Malaysia.
“Kami telah melancarkan kempen yang agak berbeza untuk HLB tahun ini. Mesej kami berteraskan konsep ‘amalan’ yang menjadi sumber kepada segala ‘senyuman’ dan kesyukuran yang dinikmati, terutamanya pada musim Raya. Hari Raya adalah masa untuk meraikan kejayaan dan menikmati hasil, dan kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memupuk amalan kewangan yang mampan supaya dapat menikmati hasil amalan tersebut," katanya.
Bagi Alif Satar, terpilih menjadi duta HLB sejak tiga tahun lalu, menjadikan beliau lebih komited dalam menguruskan masa bagi memberikan pulangan yang baik kepada masyarakat. Alif berkata sebagai anak seni beliau teruja dengan tawaran yang diberikan serta berjanji akan melakukan yang terbaik demi masyarakat dan industri seni yang menjadi karier utama kerjayanya.
Alif yang ditemui media semasa Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Lagu dan MV Senyum-Senyum Raya Hong Leong Bank di Sofitel Kuala Lumpur Damansara semalam berkata, beliau teruja ketika diminta menghasilkan lagu tema bagi hari raya Hong Leong Bank.
“Saya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan HLB dalam projek ini. Sebagai seorang yang menghargai nilai kekeluargaan, saya rasa projek ini sangat bermakna kerana ia bukan sekadar lagu biasa, tetapi juga membawa mesej yang positif. Bila pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus rasa ‘vibe’ yang positif dan ceria, sesuai dengan suasana Raya," katanya.
Lagu ‘Senyum-Senyum Raya’ mula dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac 2025 di semua platform muzik digital dan video muzik rasmi pula pada 17 Mac 2025 di saluran YouTube Hong Leong Bank.
Di samping itu juga, HLB telah bekerjasama dengan foodpanda untuk menjalankan satu program pengagihan makanan kepada ‘rider’ foodpanda. Melalui program tersebut, pihak Bank telah menyumbang makanan kepada 1000 penghantar foodpanda, dan juga telah menaja jamuan berbuka puasa untuk lebih 300 penghantar di Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak.
Selain itu, pihak Bank juga kerap menjalankan kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), di mana kakitangan HLB akan menyumbangkan pek makanan dan menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan pelbagai rumah kebajikan di seluruh negara. Baru-baru ini, HLB telah melepasi sumbangan kakitangan sebanyak RM100,000, dalam bentuk pek makanan dan keperluan harian, kepada rumah-rumah kebajikan tersebut.
0 Ulasan