Bukan mudah untuk seseorang artis itu bertapak di dalam dunia seni dalam jangka masa terlalu lama, malahan memperoleh kepercayaan untuk mengadakan persembahan eksklusif di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bersama 65 pemuzik orkestra MPO, adalah suatu yang bukan lagi mustahil.
Namun bagi kumpulan muzik popular era 90-an, Slam, mengakui mereka sangat teruja apabila dapat bergabung bersama MPO (Orkestra Filharmonik Malaysia) pada 22 Februari lepas. Konsert Slam bersama MPO itu berlangsung selama dua jam telah memukau hampir 900 penonton membanjiri segenap ruang di dalam DFP menjadikan konsert malam Sabtu itu penuh magis.
Mengalunkan hampir 15 buah lagu popular Slam dengan sentuhan simfoni seperti Kembali Merindu, Biarkan Ia Pergi, Jika Kau Rasa Getarnya, Kurnia, Mentari Muncul Lagi, Gerimis Mengundang dan banyak lagi, Slam juga mendendangkan sebuah lagu khas bagi mengenang kembali Allahyarham Dato' Sudirman Arshad menerusi lagu Salam Terakhir yang digubah khas oleh konduktor MPO terkemuka, Ahmad Muriz Che Rose.
Lagu yang dicipta asal oleh komposer Manan Ngah dan liriknya ditulis oleh Datuk Habsah Hassan itu sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri kerana ia menceritakan kisah hidup Sudirman yang dimuatkan di dalam album ke-12 Sudirman, Orang Kampung yang diterbitkan tahun 1986.
Penghibur No. 1 Asia itu antara penyanyi serba boleh di mana kebanyakkan lagu dendangannya dinyanyikan semula oleh beberapa penyanyi tempatan sama ada yang baharu atau lama. Sudirman telah mencipta fenomena luar biasa bukan sahaja dari segi muzik, malahan identiti budaya, hubungan sosial kemasyarakatan dan gaya hidup menjadi teras kepada anak kelahiran Temerloh, Pahang itu.
Kelunakan suara emas penyanyi Zamani, yang merupakan vokalis utama kumpulan Slam telah menjadikan seluruh dewan sunyi sepi apabila pelantun suara Tak Mungkin Berpaling dan Gerimis Mengundang itu mula membuka vokalnya.
Ada penonton yang turut bernyanyi bersama, ada yang nampak sedih tapi gembira dan ada juga seperti tidak mahu melepaskan rindu mereka terhadap Zamani dan Slam, sekali gus membuktikan kumpulan yang pernah memenangi tempat ketiga Voices Of Asia tahun 1997 itu masih relevan dan utuh di dalam persada muzik tempatan.
Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang menyaksikan ramai anak seni tempatan dan antarabangsa itu menjadi medan utama kepada persembahan kesenian samada klasikal, vokal, muzik dan tarian. Konsert Slam yang berlangsung di DFP itu menjadi sambungan legasi kepada beberapa nama besar seperti Tan Sri SM Salim, Dato' Sheila Majid, Dato' Sri Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Dato' Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Dato' Aishah, Ella, Yuna, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Aubrey Suwito, Akim, Hazama, Hujan, Misha Omar, Alif Satar dan ramai lagi.
Dewan yang boleh memuatkan penonton hampir 900 penonton itu dilengkapi dengan kalis bunyi melalui Klais Pipe Organ yang memberikan dimensi bunyi yang cukup mengagumkan. Dengan adunan muzik orkestra MPO secara simfoni, konsert Slam bersama MPO boleh dikatakan tampak eksklusif, mewah dan mahal.
Bayangkan awak mendengar muzik Melayu dalam bentuk simfoni dari Orkestra MPO yang dimainkan oleh 65 pemuzik orkestra pelbagai latar budaya dan mereka bukan semuanya orang tempatan. Anda teruja bukan?. Itulah gambaran yang dapat penulis rangkumkan melalui setiap persembahan yang berlangsung di DFP bersama MPO ini. Ia sangat luar biasa!
Konsert Slam Bersama MPO lahirkan sisi berbeza muzik Slam dan menjadi antara konsert penuh magis yang mencipta sejarah luar biasa bagi kumpulan muzik legenda yang berakar hampir tiga dekad mewarnai industri muzik nusantara.
Antara pengubah muzik yang terlibat di dalam persembahan ini adalah Dato' Johari Saleh, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Shahakam Mokhtar, Teuku Umar Illani Teuku Iskandar, Luqman Aziz dan Ahmad Muriz Che Rose.
0 Ulasan