Sempena ketibaan bulan syawal, Penyanyi Soma melancarkan sebuah lagu raya terbaharu beserta video klip (MV) bertajuk 'Aku Tetap Raya'.
Lagu ciptaan komposer dan penggubah lagu, Belle Fattah, Adinda Amiro dan Soma sendiri ini berkisarkan tentang kemeriahan menyambut hari raya bersama keluarga khususnya di kampung.
Diiringi dengan melodi yang ceria dan lirik yang menggambarkan semangat syawal, lagu ini diharap dapat membawa keceriaan kepada peminat muzik tempatan di sepanjang musim perayaan ini.
Soma atau nama sebenarnya Rosmah S.Sengari @Basar merupakan penyanyi baharu yang bernaung di bawah pengurusan Soma Entertainment dan Sony Music dan pernah dinobatkan sebagai Naib Juara Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009 dan Juara Bintang Klasik RTM 2010 mewakili Selangor
Ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa dan peluncuran lagu tersebut di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada 6 Mac lepas, penyanyi berusia lingkungan 40-an itu berkata, beliau sangat teruja merakamkan lagu ini kerana melodi dan mesej yang disampaikan sekali gus mewarnai industri muzik tanah air dan menjadi lagu popular sepanjang Aidilfitri depan.
"Sejujurnya saya terhutang budi pada pihak media yang memberi sokongan sejak saya mengeluarkan album EP pertama saya Disember lepas. Untuk syawal ini, saya teruja dapat merakamkan lagu raya dengan sentuhan suasana raya dikampung di mana lagu ini ciptaan komposer hebat, Belle Fattah dan Adinda Amiro," katanya.
'Aku Tetap Raya', akan berada di platform penstriman digital bermula 14 Mac ini juga dihasilkan dalam bentuk MV (video klip).
Video klip berdurasi 3 minit itu menampilkan dua bintang hebat tanah air iaitu penyanyi dan pelakon legenda, Dato' Khadijah Ibrahim dan model terkenal, Zahnita. Kemunculan dua figura ini menjanjikan kelainan luar biasa dan dijangka mendapat sambutan hangat peminat dan pendengar muzik tempatan.
Belle Fatah yang merupakan komposer lagu tersebut ketika ditemui media berkata, beliau kagum dengan semangat yang ditonjolkan Soma untuk berada di dalam industri muzik ini.
"Saya cukup kagum dengan Soma, sebab dia yakin untuk menambat pendengar muzik hari ini. Untuk lagu raya ini, Soma menulis sendiri lagu ini dibantu Adinda Amiro. Kami bekerja sebaik mungkin untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa untuk raya kali ini," katanya.
Ketika diajukan soalan tentang genre lagu ini, Belle Fatah yang merupakan adik kepada komposer legenda, Allahyarham Datuk S. Atan / Hashim Said tidak menolak kemungkinan bahawa lagu ini bersifatkan kemelayuan dengan gabungan pelbagai instrumen muzik.
"Gabungan ini membawa petanda bahawa Malaysia mempunyai berbilang bangsa yang harus diakui kewujudannya menerusi penceritaan melalui melodi. 'Aku Tetap Raya' adalah terjemahan kepada unsur raya di kampung tanpa melupakan adat kunjung-mengunjung antara satu sama lain," katanya.
Sebelum ini, Soma pernah melancarkan album EP pertamanya yang berjudul 'Perjalanan'. Album yang memuatkan 5 lagu, termasuk tiga buah lagu ciptaan komposer legenda, Allahyarham Datuk S. Atan antara rakaman terakhir S.Atan di dalam industri muzik buat Soma.
Namun, apakah Soma mampu menjadi terkenal seperti penyanyi hebat lain yang pernah bermula dengan karya Datuk S. Atan seperti Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini, Penghibur Legenda, Dato' Sudirman Arshad, Tan Sri SM Salim, Datuk DJ Dave, Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza dan banyak lagi?
Tepuk dada tanya selera!.
Gambar: Iddean Abdul | Wajib Tonton
0 Ulasan