Siapa menyangka Penyanyi No. 1 Negara akan ada penyambung legasinya. Bukan sekadar mahu mencipta populariti bersama, Penyanyi muda berbakat besar, Ummi Umairah, 14, melihat ia sebagai satu rezeki bernaung di bawah pengurusan syarikat milik Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza, SN Legacy Sdn Bhd.
Menjadi artis pertama SN Legacy, Umairah yang merupakan anak gadis penyanyi Siti Sairah berkata beliau mahu menjadi anak seni cemerlang seperti Siti Nurhaliza bahkan menganggap ibu saudaranya itu sebagai ikon dan contoh terbaik untuk berjaya dalam bidang seni khususnya muzik.
"Inilah detik bermakna dalam hidup saya. Saya bersyukur dapat bernaung di bawah pengurusan SN Legacy. Terima lah buat tangan terbaharu saya," katanya.
Lagu 'Tak Balik Raya', nyanyian Umairah yang sudah berada di semua platform penstriman digital sejak awal Mac lalu, menjadi lagu pertama hari raya nyanyian beliau yang telah dilancarkan hari ini di Pavillion Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Lagu ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito ini menceritakan kisah tentang dilema seseorang yang terpaksa menyambut hari raya berjauhan dengan keluarga kerana terpaksa bekerja. Lagu ini bukan sahaja menyampaikan emosi rindu dan sayu tetapi menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar.
Menurut Umairah, Tak Balik Raya membuatkan dirinya jatuh 'hati'. Walaupun ia sekadar sebuah karya muzik, namun penghasilannya membuka ruang buat Umairah lebih mengenali sesebuah karya lagu yang diberikan.
Tak Balik Raya menceritakan realiti sebenar yang dialami oleh anak rantau setiap kali menjelang musim perayaan. Walaupun liriknya menyentuh hati tetapi ada nada memujuk dengan kemajuan teknologi terkini, anak-anak masih dapat menghubungi keluarga dengan pelbagai cara seperti menelefon dan sebagainya.
"Lagu ini mudah melekat di ingatan dan sejak saya mengeluarkan `teaser’ atau petikan awal lagu ini, saya menerima komen positif dari pengguna laman sosial. Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan kepada saya sebagai artis baharu dalam industri muzik,’’ ujar penyanyi yang bergelar juara kategori vokal (junior) di World Championships Of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Seakan-akan jatuh cinta pandang pertama, demo lagu raya yang diberikan beberapa bulan lalu telah menambat hati Umairah. Bagi bekas bintang Ceria Megastar Ministar pada tahun 2019 ini menganggap dengan pelancaran lagu raya ini, ia sedikit sebanyak dapat membuka peluang yang lebih luas untuk terbang jauh di arena seni muzik tanah air.
"Saya tidak menunggu lama untuk bersetuju memilih dan merakamkan lagu ini. Muzik dan emosi lagu ini juga sesuai dengan usia remaja saya. Saya mengharapkan doa daripada semua untuk mengharungi industri muzik dengan cekal sekali gus mampu mengharumkan nama negara serta keluarga," katanya.
Selain single raya yang dilancarkan, Lagu 'Tak Balik Raya' ini juga turut dihasilkan dalam bentuk video klip di mana ia menampilkan Rifaiee Rio sebagai pengarah video tersebut.
Diedarkan oleh Universal Music Malaysia, 'Tak Balik Raya', adalah percubaan pertama buat Umairah bergelar anak seni. Bagi Pelantun suara 'Sesuci Lebaran', dan 'Raya Tak Ke Mana' yang turut dilancarkan pada petang Rabu, Dato' Sri Siti Nurhaliza yang merupakan pengarah urusan SN Legacy berkata, pembabitan Umairah adalah bagi menyambung legasi dan secara tidak langsung ia mendapat bimbingan profesional dalam bidang muzik.
"Saya mengharapkan Umai akan menjadi anak seni yang cemerlang dan mungkin lebih baik dari saya. Kami di SN Legacy ada beberapa perancangan untuk perjalanan seni beliau,' katanya.
Selain lagu 'Tak Balik Raya', SN Legacy juga mengumumkan lagu terbaharu Dato' Sri Siti Nurhaliza 'Raya Nak Ke Mana' juga turut dilancarkan di Pavillion Kuala Lumpur.
0 Ulasan