Jika sebelum ini kita pernah menyaksikan bagaimana Melly mencipta fenomena menerusi dua konsert terdahulu yang diadakan pada Februari 2023 dan Jun 2024, kini komposer, penggubah lagu, pencipta melodi, penerbit muzik rakaman yang juga seorang penyanyi yang digelar Ratu Runut Bunyi, Melly Goeslaw bakal kembali menemui peminat muzik di Malaysia melalui konsert Ada Apa Dengan Melly...? Prom Nite yang bakal berlangsung 31 Mei depan.
Konsert yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu memilih tema 'Prom Nite' di mana penonton yang hadir boleh memilih tema bebas, unik dan mistik tanpa melupakan nilai ketimuran dan adab berpakaian agar tidak keterlaluan.
Penganjur konsert dan pemilik rumah produksi, ICON Entertainment, Iman Tang berkata, untuk konsert ini, difahamkan banyak kejutan yang akan ditampilkan Melly bahkan pemilihan konsep dibuat selepas melihat kejayaan dua siri konsert sebelum ini sekali gus meraikan muzik tanpa sempadan dengan fesyen.
"Selepas 'Back To School' dan 'Majlis Graduasi', kita melihat perlu ada satu lagi persembahan penutup bagi rangkaian konsert Melly ini iaitu 'Prom Nite', di mana penonton dan Melly boleh bersama-sama meraikan kejayaan ini menerusi fesyen dan muzik.
"Anggaplah Malam Prom ini sebagai medan pertemuan antara rakan-rakan lama dalam sebuah pesta tari menari yang diketuai Melly Goeslaw," katanya.
Bagi pelantun suara, Ada Apa Dengan Cinta, Ku Bahagia dan Ketika Cinta Bertasbih, Melliana Cessy Goeslaw, 51, beranggapan konsert yang bakal berlangsung itu sebagai malam yang istimewa, penuh keunikan dan pastinya ada sedikit perbezaan mahupun kejutan yang akan ditampilkan.
"Kita fikir malam itu nanti akan ada banyak kejutan yang tiada dalam acara persembahan saya di Indonesia mahupun di Malaysia sebelum ini. Ingin tahu apa yang akan saya persembahkan?. Kalian harus luangkan masa bersama saya, Melly Goeslaw di acara Prom Nite bulan Mei nanti," katanya.
Pada malam konsert tersebut itu juga, difahamkan Melly Goeslaw akan menyarungkan busana rekaan pereka fesyen popular, Ezuwan Ismail dan akan memilih Prom Queen dan King terbaik yang akan diumumkan pada acara tari-menari itu.
Tiket berharga serendah RM288 (Magis Cahaya Bulan) sehinggalah RM558 (Prom Kayangan) boleh dimiliki di laman ticket2u sekarang.
0 Ulasan