BLOOD BROTHERS: BARA NAGA WAJIB TONTON!

Filem Blood Brothers: Bara Naga bukan sekadar sebuah kisah aksi yang dipenuhi dengan letupan dasyat dan pertarungan sengit tetapi juga merupakan bukti kerjasama yang padu antara pengarah dan pelakon. Ia mencerminkan dedikasi luar biasa daripada seluruh pasukan produksi yang berusaha keras untuk menghasilkan pengalaman sinematik yang benar-benar mendalam dan mengujakan bagi para penonton.

Abhilash Chandra sebelum ini pernah bekerjasama dengan Syafiq Yusof dalam Polis Evo 3, berjaya meletakkan namanya sebagai karyawan filem dalam arus perdana. Hubungan ini telah membentuk sinergi kuat di antara mereka. Kerjasama ini diteruskan kembali menerusi Blood Brothers, di mana Syafiq dan Abhilash berpadu tenaga menghasilkan sebuah naskhah yang padu, gempak sekali gus mencerminkan keutuhan sebuah pembikinan sinema Malaysia.


Jika dilihat dari segi pembinaan skrip. Skrip filem ini direka khas untuk Sharnaaz Ahmad dan Syafiq Kyle selepas Abhilash bekerjasama dengan mereka dalam Polis Evo 3. Tanpa kedua-dua pelakon ini, Blood Brothers mungkin tidak akan terwujud. Kimia di antara mereka adalah faktor utama yang menjadikan filem ini berjaya, memberikan dimensi dan kekuatan yang luar biasa kepada setiap watak dan cerita.

Melihat kepada koreografi dalam pembinaan visual menerusi naskhah Blood Brothers ini, proses reka bentuk koreografi aksi memakan masa selama 3 bulan untuk pra-visualisasi oleh Defenderz dan Abhilash Chandra. Sementara itu, para pelakon memerlukan 5 bulan untuk latihan intensif. Secara keseluruhannya, hampir 8 bulan dihabiskan untuk mencipta koreografi pertarungan yang unik dan dapat dilaksanakan dengan lancar oleh barisan pelakon utama.

Filem yang bagus adalah datang dari struktur skrip yang ditulis. Proses penulisan dan pembangunan skrip mengambil masa selama 6 bulan, diikuti dengan persiapan selama 5 bulan, penggambaran selama 3 bulan dan pasca-produksi yang memakan masa 8 bulan. Secara keseluruhannya, hampir 2 tahun dihabiskan oleh para pengarah untuk menyempurnakan filem ini, agar penonton dapat menikmati hasilnya dalam tempoh 2 jam yang penuh mendebarkan.


Abhilash Chandra berkata, sebagai pengarah bersama, peluang yang diberikan Skop Production ini harus dimanfaatkan sebaiknya. Menurutnya lagi, bekerjasama dengan Syafiq memberikan pengalaman yang mengujakan kerana walaupun terlalu banyak aksi yang dipaparkan, pembinaan watak, jalan cerita dan inspirasi karya itu menjadikan Blood Brothers antara naskhah wajib tonton bagi penggemar sinema tempatan.

"Saya cuba berkarya sebaik mungkin. Bekerja bersama Syafiq menjadikan saya lebih berhati-hati kerana apa yang kami cuba paparkan adalah kisah yang kompleks tentang sebuah persahabatan antara dunia lelaki satu sama lain.

"Setiap babak ada impaknya. Saya rasa penonton dapat merasai apa yang kami cuba paparkan. Kerjasama yang diberikan ini, membuatkan kami dapat menerokai idea dan cerita yang mampu menyentuh emosi penonton . Sebagai pengkarya saya terharu dan berharap kerjasama ini bukan hanya setakat ini sahaja dan kami banyak perancangan untuk mempelbagaikan karya untuk industri filem di Malaysia," katanya.


Walaupun dikatakan mempunyai sentuhan seperti filem tamil dan beberapa filem Hollywood yang lain, Abhilash tidak menolak kemungkinan sekiranya ada di antara penonton yang mengatakan Blood Brothers seperti sebuah filem tamil ataupun John Wick, bahkan menganggap kesemua sumber yang dikatakan itu adalah inspirasi beliau dalam menterjemahkan cerita menjadi sebuah karya filem yang kuat dan mampu meninggalkan kenangan dan memori tersendiri.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa Blood Brothers seakan-akan filem sebegitu. Jika anda mengatakan ia seperti filem tamil. Saya juga bersetuju dan saya tidak nafikan karya Blood Brothers ini ada sedikit seperti John Wick, " katanya kepada Wajib Tonton.


Diterbitkan Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios, Komet Production, D'Ayu Pictures dan Enotech Pictures, Blood Brothers: Bara Naga ini menampilkan lakonan hebat Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap dan ramai lagi ini mengangkat tema kepercayaan, pengorbanan, dan nilai persaudaraan dalam dunia yang sarat dengan tipu daya. Ia mengikuti perjalanan Ariff (Syafiq Kyle), yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk berkhidmat di bawah naungan Dato Zul (Wan Hanafi Su), seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merangkap sebagai ketua Mafia Naga.

Sejak itu, Ariff mengangkat bai’ah setia sebagai pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan dipanggil Silent Guard, sekali gus terikat sebagai Blood Brothers kepada Ghaz. Filem ke-15 arahan Syafiq Yusof ini bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula 10 April 2025.


Ledakan Eksplosif
Dari segi penjanaan efek dan kesan khas, filem ini menampilkan 7 letupan besar yang dirancang dengan teliti untuk memberi impak dramatik yang kuat. Setiap letupan direka bukan sahaja untuk mencipta kesan visual yang mengagumkan, tetapi juga untuk meningkatkan ketegangan dan emosi dalam cerita, menjadikan setiap adegan aksi lebih mendalam dan mendebarkan.

Terdapat 13 adegan aksi utama yang mendebarkan dalam filem ini, dengan 15 minit terakhir yang dipenuhi dengan aksi tanpa henti. Sepanjang tempoh itu, penonton disajikan dengan ketegangan yang semakin memuncak, memastikan setiap saat penuh dengan adrenalin dan emosi yang membara. Keputusan untuk menutup filem dengan aksi yang tidak berhenti ini memberikan impak yang mendalam dan pengalaman menonton semakin mendebarkan hingga ke akhir.


Walaupun aksi dalam filem ini penuh dengan adegan berbahaya dan mendebarkan, tiada seorang pun pelakon yang mengalami kecederaan berat sepanjang penggambaran. Ini merupakan satu pencapaian besar, memandangkan tahap intensiti aksi yang dipersembahkan. Setiap pergerakan dirancang dengan teliti oleh pasukan aksi yang sangat berpengalaman dan bertaraf dunia, dengan fokus utama pada keselamatan. Persiapan yang rapi, latihan intensif, serta penggunaan teknik keselamatan yang ketat memastikan semua aksi dapat dijayakan tanpa sebarang insiden serius.

Bagi Syafiq Yusof, membikin Blood Brothers seolah-olah menjerat dirinya dalam kancah pembikinan naskhah yang cukup mencabar emosi dan kedudukannya sebagai pengarah filem. Menurutnya, tempoh dua tahun untuk menyiapkan filem ini agak mencabar sekali gus menjadikan beliau antara pengarah filem yang terbaik dalam sinema Malaysia.


Membikin filem untuk kepuasan penonton adalah keistimewaan Syafiq dalam menghasilkan Blood Brothers. Setiap karya yang dipersembahkan Syafiq berjaya merangkul penonton untuk terpaku hampir dua jam. Anak kepada jutawan dunia perfileman tanah air, Datuk Yusof Haslam ini adalah antara pengarah filem termuda yang berjaya meletakkan filem sebagai dunia wayang yang mampu memberikan dimensi berlainan melalui pelbagai karya sentuhannya dari tahun 2012 hinggalah kini.

"Saya tidak nafikan filem ini antara naskhah yang amat sukar untuk saya hasilkan. Seperti filem-filem lain sebelum ini, Blood Brothers mencabar emosi dan pemikiran saya kerana tempoh dua tahun untuk menyiapkan filem ini menuntut saya dan Abhilash bekerjasama erat walaupun ada ketika kami risau akan hasilnya. Bagi peminat filem, saya percaya anda akan menyukai karya terbaharu saya kali ini," katanya.


Filem yang menjalani proses adunan bunyi Dolby Atmos di Studio Mixstage FINAS ini antara filem tempatan yang mempertaruhkan pelbagai adegan aksi yang mendebarkan dibantu dengan pelbagai adegan pertarungan yang bisa merentap jiwa apatah lagi lakonan semua pelakon yang membintangi filem ini berjaya meletakkan Blood Brothers antara filem terbaik dalam sejarah pembikinan sinema di rantau asia.


Adegan pertarungan di atas bumbung yang melibatkan Syafiq Kyle umpamanya yang berdepan dengan tiga pengawal keselamatan memerlukan 36 kali penggambaran untuk satu sekuens. Dalam adegan yang penuh aksi ini, Syafiq harus berhadapan dengan tiga lawan serentak, menampilkan kepakaran dan ketangkasan beliau dalam menguasai situasi yang sukar. Keupayaannya untuk beraksi dengan begitu pantas dan cekap di tengah-tengah ketegangan menunjukkan dedikasi dan komitmen beliau dalam membawa wataknya dengan penuh kredibiliti.


Penampilan Shukri Yahya yang sebelum ini agak stereotaip, berjaya menangkis tangkapan negatif kerana kemunculan beliau dalam Blood Brothers ini adalah cukup hebat dan berbeza dengan lakonan-lakonan beliau dalam drama rantaian keluarga dan kisah curang suami isteri.

Penghargaan harus diberikan kepada Syafiq dan Abhilash yang berjaya mengubah persepsi lakonan Shukri yang sebelum ini agak 'biasa' telah menjadi luar biasa. Ketika ditemui media semasa Tayangan Perdana Blood Brothers di sebuah pawagam di Putrajaya, Shukri tidak terkejut dengan tanggapan tersebut malahan beliau teruja apabila dapat membintangi naskhah arahan Syafiq Yusof bersama Abhilash ini.

Lebih daripada sekadar filem aksi, Blood Brothers menjanjikan pengalaman sinematik yang mendebarkan, menggabungkan jalan cerita yang intens dengan aksi berkualiti tinggi. Dengan barisan pelakon mantap dan garapan visual yang memukau, filem ini bersedia menjadi antara karya tempatan paling dinantikan tahun ini.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kemeriahan Blood Brothers! di pawagam bermula hari ini, 10 April 2025.

4/5 Wajib Tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan