SITI HARIESA CALON ISTERI BUAT JAZMY JUMA?

Siapa sangka perkahwinan yang bermula dengan syarat kontrak akan berakhir dengan kisah cinta yang begitu mendalam? Apakah yang tersembunyi di sebalik kontrak itu yang mampu mengubah takdir mereka? Drama Calon Isteri Buat Suami, yang menampilkan gandingan mantap Siti Hariesa dan Jazmy Juma bakal mengisi slot Akasia TV3 mulai 8 April, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam. Drama ini juga boleh distrim di iQIYI pada pukul 8.00 malam secara percuma.  

Diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn. Bhd, drama bersiri 25 episod ini arahan Bahri Umar dan skrip oleh Sophilea, mengangkat tema cinta, keluarga, dan pengorbanan. Dengan barisan pelakon hebat seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma,  Trisha Ooi, Jasmin Hamid, Hazeeq Dean, Emelda Rosmila dan ramai lagi, Calon Isteri Buat Suami bukan sekadar tentang hubungan antara dua hati, tetapi juga tentang konflik tersembunyi yang menguji batas kesetiaan dan kepercayaan. Setiap episod mengajak penonton untuk menyelami dilema dan perjuangan Haizi (Siti Hariesa) dan Nazim (Jazmy Juma)  dalam mencari makna di sebalik perjanjian yang mengikat mereka.

Calon Isteri Buat Suami mengisahkan perjalanan seorang wanita, Haiza, yang cuba memulakan hidup baru selepas pertunangannya dengan Khalif terputus. Dengan tekad yang kuat, Haizi berhijrah ke Kuala Lumpur untuk membuktikan dirinya kepada ibu Khalif. Di kota besar ini, nasibnya berubah apabila dia secara kebetulan membantu Datin Yasmin dalam satu situasi kecemasan. Sebagai tanda terima kasih, Puan Yasmin bukan sahaja menawarkan Haizi pekerjaan di syarikatnya, tetapi juga mencadangkan satu perjanjian iaitu Haizi perlu berkahwin dengan anak lelakinya, Nazim, dan jika dia ingin bebas daripada perkahwinan itu, dia mesti mencari isteri yang lebih baik untuk Nazim.

Perjalanan Haizi dan Nazim bermula dengan keraguan, namun perasaan sayang antara mereka semakin mendalam dan akhirnya mereka saling jatuh cinta. Kebahagiaan mereka tergugat apabila sepupu Nazim, Dayana (Trisha Ooi), muncul dengan tuduhan yang menguji keutuhan hubungan mereka. Dalam keadaan Haizi yang sedang mengandung, segalanya berubah. Mampukah Haiz idan Nazim mengharungi dugaan ini, atau adakah cabaran daripada Dayana akan memusnahkan segalanya?

Menurut Jazmy Juma, yang membawa watak Nazim, pengalaman beliau bekerja dengan Siti Hariesa di set penggambaran ialah satu kenangan yang sangat bermakna.

“Bergandingan dengan Hariesa di set memang satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Kami saling memberi sokongan dan berbincang untuk memastikan setiap babak disampaikan dengan sempurna. Keserasian yang kuat antara kami membuatkan setiap adegan lebih hidup dan penuh emosi. Saya berharap penonton dapat merasai keikhlasan kami dalam setiap detik perjalanan cerita ini.

“Selain itu, hubungan kami dengan pengarah juga sangat penting. Dalam setiap perbincangan mengenai babak-babak tertentu, pengarah sentiasa memberi pandangan dan penambahbaikan. Bagi saya, itu menunjukkan kerjasama yang kukuh antara pelakon dan pengarah,” katanya.

Penonton iQIYI VIP boleh strim episod terkini secara ekspres di aplikasi iQIYI - tepat jam 8.00 malam pada hari yang sama. Episod baharu juga boleh ditonton secara PERCUMA - 48 jam selepas tayangan. Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store sekarang.

Catat Ulasan

0 Ulasan